JOHOR BAHRU – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail dan atlet ping pong, Tee Ai Xin, mengungguli Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31) apabila masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Johor pada Majlis Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31), malam tadi.
Bagi Afiq, 31, kejayaan berprestij itu dianggap sebagai pembakar semangat kepadanya untuk terus konsisten dalam karier bola sepak.
Malah, beliau turut tidak menyangka memenangi anugerah berkenaan pada tarikh hari lahirnya.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur. Tak sangka dapat anugerah ini, tapi gembira sangat sebab ia jadi motivasi untuk saya terus maju ke hadapan.
“Pesan saya kepada atlet muda, jangan mudah berputus asa kerana kejayaan tidak datang dengan mudah. Ada jatuh dan bangun, tapi kena cekal,” katanya kepada pemberita dalam majlis tersebut di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, malam tadi.
Pada masa sama, Anugerah Olahragawati Johor menjadi milik Ai Xin yang memenangi pingat perak dalam acara ping pong wanita di SEA Games 2023 Kemboja dan memenangi emas dalam acara beregu wanita di Kejohanan Table Tennis SEA Championship 2024 (Bangkok).
Selaku Olahragawan dan Olahragawati Johor, Afiq dan Ai Xin membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 dan sebuah trofi.
Tambah Afiq, pengiktirafan itu sedikit sebanyak memberi motivasi kepada dirinya untuk terus maju jaya ke hadapan.
ASJ31 merupakan pengiktirafan tertinggi negeri terhadap kecemerlangan atlet, jurulatih, pasukan serta organisasi sukan yang telah mengharumkan nama negeri Johor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Dalam majlis sama, Umar Osman dan sukan olahraga menerima Anugerah Olahragawan Harapan Johor manakala Dania Sofea Zaidi daripada sukan badminton meraih Anugerah Olahragawati Harapan Johor.
Anugerah Pasukan Lelaki terbaik dimenangi oleh JDT manakala Anugerah Pasukan Wanita Terbaik dimenangi Pasukan Bola Keranjang Wanita Negeri Johor.
Sementara itu, Umar, 22, yang kini berada di landasan terbaik sebagai pelari 400 meter negara, meletakkan sasaran besar untuk melangkah ke kejohanan bertaraf antarabangsa.
Bagaimanapun katanya, sasaran tahun ini adalah bagi mencatatkan masa di bawah 46 saat dan sekali gus memperbaiki cacatan terbaiknya setakat ini, 46.09 saat.
“Harapan saya, nak berjaya lebih besar di Sukan SEA, Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik. Kena buat langkah demi langkah.
“Buat masa ini saya masih berlatih di Kluang bersama jurulatih Simon Low dan memang ada perancangan ke Amerika Syarikat selepas tamat pengajian saya – diploma di Politeknik Ibrahim Sultan.
“Apa pun, penghargaan buat kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa menjadi ‘tulang belakang’ sepanjang perjalanan karier saya sebagai atlet, ” kata penuntut semester lima itu lagi.- MalaysiaGazette
















