BOGOTA, COLUMBIA – Menteri Luar Colombia, Rosa Villavicencio mengumumkan beliau akan secara sukarela melepaskan visa Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda solidariti dengan Presiden Gustavo Petro, yang visanya telah dibatalkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Ini adalah satu tindakan bermaruah apabila berdepan keputusan yang tidak boleh diterima apabila AS membatalkan visa Presiden Colombia.
“Kita tidak akan tunduk. Colombia adalah negara berdaulat dan mesti dihormati,” kata Villavicencio.
Beliau mengakui bahawa hubungan dengan AS kini “tegang” selepas Jabatan Negara AS mengumumkan pada Jumaat lalu bahawa visa Petro akan dibatalkan susulan “tindakannya yang menghasut” semasa protes jalanan pro-Palestin di New York.
“Terdahulu hari ini, Presiden Colombia @petrogustavo berdiri di jalan New York untuk menghasut keganasan dan menggesa askar AS supaya tidak mematuhi arahan,” tulis Jabatan Negara AS di platform media sosial X.
Ketika berada di New York untuk Perhimpunan Agung PBB, Petro telah berucap kepada sekumpulan penunjuk perasaan dengan menyeru askar AS supaya “jangan patuhi arahan Trump!”
“Saya meminta semua askar dalam tentera Amerika Syarikat agar tidak menghalakan senjata mereka kepada manusia. Ingkari arahan Trump! Patuhilah arahan kemanusiaan!” katanya.
Sekembalinya ke Bogota, Petro mengesahkan pembatalan visanya tetapi mengetepikan tindakan itu.
“Saya tidak lagi mempunyai visa untuk ke AS tetapi saya tidak peduli,” katanya sambil merujuk kepada statusnya sebagai warganegara Eropah sebagai sebab beliau tidak memerlukan visa untuk memasuki AS.
“Saya bebas, dan setiap manusia mesti bebas di muka bumi,” tambahnya.
Pembatalan visa ini merupakan perkembangan terkini dalam ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti turut menyokong Petro secara terbuka, dengan mencadangkan di X bahawa visa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sepatutnya dibatalkan sebaliknya.
“Tetapi kerana empayar melindunginya, maka ia melepaskan kemarahan terhadap satu-satunya presiden yang cukup berani untuk menyatakan kebenaran di hadapannya,” tulis Benedetti.
Ketegangan diplomatik ini menyusuli beberapa konflik terkini, termasuk langkah Colombia pada awal tahun untuk menghalang dua pesawat tentera AS yang membawa migran dihantar pulang daripada mendarat di wilayahnya. Sebagai tindak balas, pentadbiran Trump membatalkan visa pegawai Colombia, serta mengugut untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan Colombia.
Minggu lalu, AS juga telah membatalkan pengiktirafan Colombia sebagai sekutu dalam usaha memerangi dadah.
— BERNAMA-ANADOLU
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















