KUALA LUMPUR – Tuduhan pembangkang bahawa penurunan harga RON95 sebagai langkah kosmetik adalah dangkal dan cuba mengelirukan rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan AMK, Noor Atillah Abdullah Sani berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pas Kapar, Dr Halimah Ali memberi gambaran seolah-olah pembangkang ketika ini lebih selesa subsidi petrol terus dinikmati bukan warganegara maka pendirian itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memalukan blok pembangkang.
“Jika Dr. Halimah benar-benar prihatin terhadap rakyat, maka langkah petrol bersasar ini perlu disokong tanpa permainan politik.
“Penurunan petrol ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program BUDI95 yang mana setiap warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak secara automatik menerima subsidi sehingga 300 liter sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, langkah ini baik untuk negara kerana subsidi petrol benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia, tanpa ketirisan daripada pihak luar atau golongan tidak sepatutnya.
“Langkah kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat bukan hanya bergantung pada penurunan harga minyak semata-mata, tetapi turut melaksanakan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang bermula sejak Februari 2025.
“Bukan itu sahaja, kerajaan ketika ini juga menyalurkan bantuan melalui pelbagai inisiatif lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). STR menyediakan bantuan tunai sehingga RM650 setahun, manakala SARA membolehkan rakyat membeli barangan asas menggunakan MyKad di pasar raya terpilih,” katanya.
Terdahulu, Dr Halimah menyifatkan penurunan enam sen harga petrol menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai kecil dan tidak memberi impak ketara kepada ekonomi rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Perikatan Nasional (PN) berkata, penjimatan beberapa ringgit sebulan daripada pengisian minyak kereta itu langsung tidak mengimbangi beban sebenar yang ditanggung rakyat.
Ini kerana, jelasnya, rakyat kini sedang berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat mendadak daripada kenaikan harga barangan runcit, sewa rumah, bil utiliti sehinggalah kepada caj perkhidmatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: BUDI95: Macam bantu tapi tidak – Dr. Halimah
















Dr Halimah ni rasanya dungu