KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ke Gaza, selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia Madani.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sokongan ini dizahirkan melalui inisiatif Sumud Nusantara yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke wilayah bergolak itu.
“Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel,” katanya kenyataan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, keberanian dan ketabahan para aktivis yang membawa misi amanah tersebut amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara di Gaza.
Dalam pada itu, beliau berkata, perdana menteri turut mendesak agar laluan kemasukan bantuan tidak dihalang oleh mana-mana pihak kerana tindakan itu hanya akan menambah derita penduduk Gaza yang sudah berada dalam keadaan kritikal.
“Sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal,” tegas beliau.
Dalam masa yang sama, perdana menteri menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati mendoakan keselamatan aktivis dan menyalurkan sokongan berterusan terhadap usaha kemanusiaan yang sedang dijalankan.
“Kerajaan Madani amat menghargai setiap usaha yang dilakukan demi meringankan penderitaan rakyat Gaza, dan komitmen ini akan terus diperkukuh bersama masyarakat antarabangsa,” ujar Tunku Nashrul.
Inisiatif Sumud Nusantara kini menjadi platform utama masyarakat sivil Malaysia menyalurkan bantuan, sekali gus memperkukuh peranan negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat global.
Kapal pertama sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) telah melepasi zon kuning bagi meneruskan perjalanan ke Gaza sekitar pukul 9.30 malam tadi waktu Malaysia.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Sumud Nusantara Comand Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim menerusi pemantauan di dashboard Global Sumud Flotila tracker.
Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai dan berada di atas beberapa kapal dalam misi tersebut yang kini sudah memasuki hari ke-29. – MalaysiaGazette
















