Machida Zelvia seri 0-0 dengan JDT pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim. Iskandar Puteri malam ini.- Foto ihsan Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Machida Zelvia, Go Kuroda berlapang dada apabila tidak berpeluang membolosi gol Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Pengendali kelab Jepun itu, Go Kuroda berkata, pihaknya tetap berpuas hati walaupun meraih satu mata dengan prestasi ditunjukkan kesebelasan pemainnya.

Kuroda percaya ada hikmah di sebalik keputusan tersebut yang berkemunginan menjadi titik permulaan bagi pasukan itu berusaha lebih keras keras untuk berjaya.

“Kesemua pemain sudah menjalankan tugas dengan baik apabila berjaya mematikan pergerakan pemain-pemain JDT dan sekali gus menguasai permainan.

“Kita tahu kekuatan JDT yang melakukan serangan balas pantas dan situasi bola mati, ini juga berjaya kita patahkan.

“Kita juga sepatutnya berada di hadapan namun gagal menyempurnakan sepakan penalti. Ini bukanlah keputusan yang kita mahukan tetapi kita perlu berlapang dada menerima keputusan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Katanya, selain terlepas penalti, jentera serangan pihaknya juga serba tidak menjadi setelah gagal menemui sentuhan penyudah apabila beberapa hantaran di kawasan lawan tidak begitu tepat.

Beliau berharap kelemahan tersebut dapat ditambah baik pada perlawanan seterusnya.

Pada perlawanan tersebut pemain sayap, Yuki Soma gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila rembatan yang dilakukan sekadar menggegar tiang kiri pintu gol tuan rumah pada minit ke-22 babak pertama.

Mengulas mengenai kegagalan sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada pasukannya pada minit ke-22, Kuroda yang juga bekas guru Aomori Yamada High School berkata, beliau mengesan permukaan kasar di tempat sepakan penalti itu diambil.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak wajar dijadikan alasan dan kesemua pemain perlu melupakannya ini dan memberikan tumpuan bagi memantapkan pasukan menjelang permulaan saingan Liga 1 Jepun tidak lama lagi.

“Ini merupakan debut kami di pentas ACLE.  Baru main dua perlawanan. Perjalanan kita masih jauh dan mungkin keputusan ini menjadi pemangkin kebangkitan pasukan untuk meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast