[ARKIB] Kapal Libya, Omar al-Mukhtar mula belayar untuk menyertai konvoi Global Sumud Flotilla pada 22 September 2025.

KUALA LUMPUR – Global Sumud Flotilla (GSF) mengumumkan konvoi berkenaan sedang berada kurang 160 batu nautika (296 kilometer) dari Gaza dan akan memasuki zon berisiko tinggi, malam ini.

GSF dalam hantaran terkininya di media sosial melaporkan, mereka mengesan dron-dron pengintip yang tidak dikenal pasti terbang pada altitud sederhana di kawasan perairan Mediterranean di mana konvoi GSF sedang berlayar.

“Sedang dalam peringkat tertinggi berjaga-jaga. Aktiviti dron berhampiran flotila juga meningkat. Beberapa laporan yang menunjukkan senario berbeza dijangka berlaku dalam tempoh beberapa jam akan datang.

“Kami kini sedang memasuki zon berisiko tinggi, di mana ia merupakan kawasan flotila-flotila sebelum ini diserang dan/ atau dipintas. Kekal berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, Al-Jazeera melaporkan, seorang aktivis Turki yang berlayar dalam bot Adagio memaklumkan, sebuah kapal Tentera Laut Israel turut dikesan pada jarak 80 kilometer (50 batu nautika) berhampiran GSF.

“Kami sudah menjangkakan pemintasan atau serangan Israel malam ini atau esok malam. Kemungkinan besar ia akan berlaku malam ini.

“Kami berada pada tahap berjaga-jaga penuh. Semua orang telah memakai jaket keselamatan dan menunggu dalam keadaan bersiap sedia di dek,” kata Salih dalam sebuah video di Instagram.

Flotila yang membawa bekalan makanan, ubat dan aktivis dari 44 buah negara itu bukan sahaja untuk membantu rakyat Gaza yang sedang kebuluran malah turut berhasrat memecahkan sekatan Israel.

Semalam, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Comand Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim memaklumkan kesemua kapal sukarelawan GSF sudah memasuki Zon Kuning 2 (Yellow Zone 2) pukul 3 petang waktu Malaysia dan berada pada jarak 227 batu nautika dari persisiran Gaza.

Pihaknya menjangkakan misi Flotila akan memasuki Zon Merah dalam masa 28 jam iaitu pukul 7 malam ini. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

GSF: Terdapat dron berlegar sekitar bot flotila, kata Farah Lee

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast