Haffiz semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, Bukit Senyum, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU– Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksana satu kajian menyeluruh bagi menilai semula tahap keselamatan bangunan di bandar raya ini sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gempa bumi pada masa hadapan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Haffiz Ahmad berkata, langkah itu melibatkan penelitian ke atas keperluan menetapkan piawaian baharu terhadap syarat pembinaan bangunan, sama ada untuk struktur sedia ada mahupun projek baharu.

Menurut beliau, inisiatif itu amat penting untuk memastikan semua bangunan di bandar raya ini lebih tahan lasak serta mengurangkan risiko kerosakan serius sekiranya berlaku gegaran bumi yang tidak dijangka.

“MBJB memandang serius aspek keselamatan penduduk dan infrastruktur di bandar raya ini. Saya telah meminta Jabatan Kawalan Bangunan MBJB untuk memulakan kajian ini dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, Bukit Senyum, di sini, hari ini.

Tambah Haffiz, kolaborasi bersepadu dengan pelbagai pihak diyakini dapat menghasilkan garis panduan teknikal yang lebih kukuh, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan, kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa warga bandar raya.

Beliau berkata, kajian itu tidak hanya akan memberi tumpuan kepada bangunan tinggi, malah turut menilai semula tahap keselamatan kemudahan awam, pusat perniagaan, institusi pendidikan dan kediaman masyarakat.

Haffiz berkata, pelaksanaan piawaian baharu yang dicadangkan kelak juga akan mengambil kira pengalaman dalam mengurus risiko seismik di samping disesuaikan dengan keadaan geografi serta keperluan tempatan.

Beliau yakin, hasil kajian itu akan menjadi panduan penting bukan sahaja kepada pihak berkuasa tempatan, tetapi juga kepada pemaju, kontraktor serta pemilik bangunan bagi memastikan tahap keselamatan yang lebih menyeluruh di bandar raya ini.

Katanya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang MBJB untuk meningkatkan daya ketahanan bandar raya terhadap bencana, seiring dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang menitikberatkan aspek keselamatan awam dan kelestarian pembangunan.

Gempa bumi lemah dan terbaharu direkodkan pada Sabtu lalu adalah yang kesembilan berlaku di utara Johor membabitkan daerah Segamat dan Batu Pahat.

Gempa pertama berlaku di Segamat dengan kekuatan 4.1 dan 2.8 magnitud pada 24 Ogos diikuti 3.2 magnitud pada 27 Ogos; 2.5 magnitud (28 Ogos); 3.4 magnitud (29 Ogos) manakala di Batu Pahat dengan kekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud dilaporkan berlaku pada 30 dan 31 Ogos lalu dan terakhir 2.9 magnitud pada 3 September lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast