SAYA, Tan Sri Ambrin bin Buang, adalah merupakan seorang anak jati Kampong Bharu, mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Ahli Dewan Diraja Selangor. Saya ingin memberi pandangan mengenai pembangunan Kampong Bharu khususnya berkaitan dengan pembangunan dan kedudukan “Kampung Sungai Baru” yang kini telah mendapat perhatian ramai pihak.
Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan di sini menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor melalui kenyataan akhbar Baginda bertarikh 18 September 2025 berhubung isu pembangunan semula tanah di “Kampung Sungai Baru”, Kuala Lumpur. Dalam kenyataan akhbar DYMM Sultan Selangor tersebut, Tuanku telah mengimbas susur galur sejarah dan peristiwa penting yang berlaku di Kampong Bahru yang harus difahami oleh semua pihak dan perlu dipelihara sebaiknya.
DYMM Tuanku juga mengingatkan bahawa Kampong Bahru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur. Oleh itu, Tuanku menegaskan segala usaha pembangunan di Kampong Bahru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu.
Berikutan kenyataan DYMM Tuanku tersebut, Baginda telah menjemput saya dan beberapa orang lama Kampong Bharu termasuk pegawai-pegawai kanan Kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan perbincangan berkaitan isu-isu yang berhubung kait dengan Kampong Bharu dan juga isu pembangunan di “Kampung Sungai Baru”.
Ini menggambarkan keperihatinan DYMM Tuanku berkaitan dengan isu yang membabitkan Kampong Bharu dan “Kampung Sungai Baru”. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah menyokong penuh kenyataan DYMM Sultan Selangor serta memberikan jaminan tentang kedudukan dan kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu akan sentiasa dijaga dan dipelihara.
Izinkan saya mengupas sedikit sejarah kewujudan Kampong Bharu dari kajian saya sendiri serta maklumat yang saya peroleh memandangkan saya sendiri merupakan anak jati Kampong Bharu. Dari segi sejarahnya dan hasil semakan saya, asal-usul
tanah Kampong Bharu yang seluas lebih kurang 220 ekar telah diwartakan sebagai Malay Agricultural Settlement (selepas ini dirujuk sebagai “MAS”) pada 12 Januari 1900, bagi tujuan pertanian dan pendudukan untuk orang-orang Melayu.
Tanah ini adalah hasil kurniaan Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke-5. Pada tahun 1901 tanah ini telah diwartakan semula untuk tujuan penempatan orang Melayu apabila projek pertanian yakni
tanaman sawah padi agak kurang berjaya.
Namun demikan, tajuk pewartaan di bawah Malay Agricultural Settlement, MAS dikekalkan walaupun kegunaannya telah
ditukar untuk tujuan penempatan orang Melayu (fakta berkaitan hal ini saya peroleh melalui rujukan kepada catatan sejarah yang ditulis oleh John Hand yang merupakan Setiausaha Kehormat MAS pada tahun 1933 hingga 1941). Pewartaan sebagai tanah MAS ini terus kekal hingga ke hari ini.
Seperti yang semua sedia maklum, Kampong Bharu ini kemudiannya telah diserahkan oleh Kerajaan Selangor kepada Kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian dari kawasan Wilayah Persekutuan, ketika pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada Februari 1974.
Baru-baru ini telah timbul isu tentang pembangunan “Kampung Sungai Baru” yang mana pada pemahaman dan anggapan saya tanah ini asalnya adalah sebahagian daripada tanah warta MAS berpandukan kepada pewartaan tahun 1901. Malah jika dilihat kepada Warta bertarikh 16 Februari 1932, jelas menunjukkan kedudukan kawasan tanah di bawah warta MAS sebagai terletak pada kedudukan “the right bank of Klang River downstream”.
Apa yang terjadi, pada tahun 1967, Kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan untuk meluruskan Sungai Klang yang melintasi “Kampung Sungai Baru” daripada keadaan asalnya yang berbengkang-bengkok bagi mengelak kejadian banjir di kawasan tersebut dari terus berlaku. Ini menyebabkan lebihan/terbitan tanah baru seluas 16.31 ekar telah terbentuk selepas projek meluruskan sungai Klang disiapkan.
Di dalam masa yang sama tanah lebihan yang terbentuk itu kedudukannya terletak di sebelah tebing kanan sungai Klang dan ini sekali gus termasuk di bawah definasi pewartaan 16 Februari 1932 tanah MAS sebagai “the right bank of Klang River”. Oleh itu, tanah lebihan ini boleh termasuk di bawah warta MAS disebabkan oleh kedudukan tanah tersebut yang kini telah berada di sebelah kanan tebing sungai Klang.
Justeru, pada pandangan saya kerajaan pada ketika itu seharusnya mewartakan tanah lebihan tersebut sebagai tanah yang termasuk di bawah tanah warta MAS yang di kenali sebagai “Kampung Sungai Baru”. Mengambil kira faktor di atas dan mengambil kira hasrat DYMM Sultan Selangor ketika itu agar orang-orang Melayu memiliki tanah dan penempatan di pusat bandar Kuala Lumpur, saya membuat kesimpulan bahawa tanah “Kampung Sungai Baru” boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian dari tanah MAS.
Di samping itu, fakta untuk menklasifikasikan sebagai tanah MAS untuk orang-orang Melayu ini boleh diperkuatkan dengan melihat kepada surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 5 Mei 1970 yang secara jelas menyatakan bahawa tanah “Kampung Sungai Baru” ini mempunyai syarat sekatan tanah yang menyatakan bahawa tanah yang dikeluarkan milik ini tidak boleh ditukar milik kepada orang bukan Melayu.
Cuma ianya berkemungkinan belum sempat diterjemahkan untuk menjadi sebahagian dari warta MAS. Sehubungan itu, saya berpendapat inilah masanya Kerajaan Persekutuan membetulkan semula keadaan dengan memastikan tanah ini diwartakan sebagai tanah MAS bagi tujuan penempatan orang-orang Melayu bersesuaian dengan situasi semasa dan demi menjamin hak kepentingan orang Melayu terjamin.
Kedudukan tanah ini adalah sangat strategik dan bernilai tinggi dan jika pembangunan dilakukan dan penjualan terbuka kepada orang-orang bukan Melayu, maka orang-orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli dan memilikinya. Oleh itu pada pendapat saya hasrat asal Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah
Ibni Almarhum Raja Muda Musa untuk penempatan orang-orang Melayu perlu dikekalkan.
Tan Sri Ambrin Buang
Anak Jati Kampong Bharu,
Mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu & Ahli Dewan Diraja Selangor
















Assalammualaikum,
Tan Sri Ambrin Buang sbg seorg pembesar negeri S’gor tentulah menyokong klasifikasi semula Kpg Sg Baru kpda MAS daripada pajakan 99 tahun.
Sbg orang Melayu, saya turut gembira dengan gerakan untuk mereklasifikasi KSB sbg. MAS. Namun apa yang saya kurang jelas adalah bukti yang beliau beri untuk meyakinkan pemilik2 hartanah di KSB dan Pemaju KSB bahawa satu kesilapan telah berlaku selama ini dan menerimanya. Ini krn lbh 50 tahun telah berlalu dan ada 4 krjn yg telah menerintah negara tapi tak ada satu pihak pun termasuk pejuang2 Melayu membangkitkan perkara ini. Yang peliknya jika benar KSB memang dari asal dimaksudkan sbg tanah MAS, mengapa ia dinamakan Kpg Sg Baru? Mengapa tidak Kpg Baru Annex atau Kampung Baru 2? Seperkara lagi, mengapa jenis hakmilik tanah itu pajakan 99 tahun, bukan pegangan bebas? Dan Krjn dan pegawai mana yang melakukan kesilapan yang melanggar perlembagaan negara ini? Sepatutnya. dihukum. Begitu juga dgn Krjn yang melakukan pengambilan tanah KSB dgn menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan menyerahkan hakmiliknya kpd Pemaju yg dikatakan dikawal Cina Spore.
Yang saya lebih musykilkan adalah:-
1. Krn perkara ini melibatkan pihak krjn dan pihak peniaga srta undang2 dan perlembagaan negara serta bukti yg KSB itu MAS tidak jelas, lbh baik ia diputuskan olh mkmh. Ini termasuk soal pengambilan tnh KSB menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan penyerahannya kpd Pemaju yang dikatakan dikawal oleh pelabur Cina Sngapore. Pihak peniaga dijangka tidak akn berpuashati klu ia diputuskan oleh penjenteraan kerajaan saja. Gulongan peniaga & pelabur akan tertanya-tanya apakah Krjn skrng tidak patuh kepada kedaulatan undang2 dan keluhuran perlembagaan & boleh mengubah sesuatu tindakan Kerajaan berdasarkan sebuah akta sesuka hati hya krn adanya teguran drp pembesar negeri & segulongan kcl rkyt yg berkepentingan tanpa mengambilkira kepentingan 67% drpd penduduk yg pro PSK dan Pemaju yg tlh membelanjakan banyak wang ke atas projek tsbt? Ini boleh menganggu keyakinan pelabur terhadap negara.
2. Apa nak jd dgn PSK KSB? Jika PSK itu diberhentikan, smpi bila penduduk KSB yg pro PSK harus menunggu bila PSK itu akan siap dan mrk dapat rumah gantian dan rumah ganjaran masing2? Setakat ini, PSK KSB telah lapan tahun tergendala.
3. Bgmn dgn mrk yg telah menerima pampasan? Adakah.mrk akan dikehendakki memulangkan pampasan itu? Apakah mrk msh berhak kepada hartanah masing2 setelah memulangkan pampasan?
4. Pihak mana yang kena tanggung gantirugi kpd Pemaju dan 2 ke 3 org pemilik bukan Melayu tanah KSB jk KSB direklasifikasi sbg MAS. Bukan salah mereka yang tanah itu skrg pajakan 99 tahun?
5. Di antara tanah pajakan 99 tahun dan rizab Melayu pegangan bebas, mana yang lebih bernilai? Jika tanah pajakan 99 tahun lbh bernilai, pemilik2 tanah KSB akan kerugian. Mungkin inilah pengorbanan yang mereka kena buat krn mahukan KSB diberi status MAS dan rizab Melayu.
6. Jika ada yg telah meminjam bank bersandarkan tanah KSB dan 5 di atas berlaku, bank mgkn akan menarik balik pinjaman mrk krn nilai sandaran tidak mencukupi dan peminjam gagal menanbah sandaran mrk.
Ada kemungkinan Krjn Negeri Selangor dan Krjn Wilayahlah yg kena tanggung segala obligasi kewangan yang berbangkit drp sebarang reklasifikasi KSB dari Pajakan 99 tahun kepada MAS. Beberapa pegawai krjn di Pejabat Tanah WP/S’gor (masih ada atau sudah pencen) dan bekas PM/bekas Menteri WP/bekas Menteri Undang2/bekas AG/bekas MP Titiwangsa msg2 Krjn BN, Krjn PH1.0 dan Krjn PN perlu dipertanggungjawabkan.
Permasalahan Kampung Sungai Baru perlu diselesaikan secara holistik bukan setakat mereklasikasikannya ke MAS saja.