ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun tidak berjaya membolosi gawang Machida Zelvia, di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata, prestasi skuad kendaliannya disifatkan mantap biarpun diikat tanpa jaringan ketika berdepan kelab Jepun tersebut.
Munoz berkata, kesebelasan Harimau Selatan itu mempamerkan aksi berkualiti walaupun berdepan tempo serta intesiti perlawanan tinggi daripada pelawat.
“Bagi saya, kesemua pemain telah beraksi baik dan momentum ini perlu terus dikekalkan.
“Kita juga berada di landasan yang betul dan penting untuk kita belajar serta perbaiki apa yang perlu bagi memberikan aksi yang lebih baik.
“Lagi pun, kami berdepan lawan yang kuat dan kami perlu terus mengekalkan intensiti untuk terus melakar kemenangan pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Mengulas mengenai ketiadaan tiga tonggak, Jon Irazabal, Hector Havel, Joao Figueiredo yang digantung perlawanan, Munoz menyifatkan keadaan itu memberikan peluang kepadanya untuk menurunkan pemain-pemain sedia ada.
“Kita tahu, kesemua mereka merupakan pemain penting, tetapi kita juga percaya dengan kemampuan pemain lain.
“Tengok sahajalah malam ini, mereka telah menunjukkan mentaliti, kapasiti yang baik dengan memberikan aksi 100 peratus dan ini sangat penting untuk pasukan,” ujarnya.
Sementara itu, Munoz tetap menghormati keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pelawat pada babak pertama.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan para pemain agar sentiasa mengawal emosi dan tidak bertindak di luar kawalan.
“Bila menentang pasukan yang bagus, kawalan emosi itu sangat penting. Inilah antara perkara yang perlu kita perbaiki.
“Apa pun, pasukan telah beraksi pada tahap yang baik malam ini dan kita akan terus baiki situasi ini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















