KOTA TINGGI – Sebuah bot kargo Indonesia dengan muatan 26,500 kilogram bijih timah ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai di sini hari ini.
Kapal kargo asing tersebut ditahan anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 4.45 pagi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong kesemuanya warga Indonesia berusia 26 hingga 55 tahun.
“Kapal kargo tersebut, membawa 530 guni disyaki bijih timah hampir 26,500 kilogram. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4.5 juta termasuk bot dan peralatan.
“Bot serta bahan muatan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, selain Akta Imigresen 1963 kerana dokumen pengenalan diri meragukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan perairan.
Operasi itu katanya, membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam membanteras sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan aktiviti jenayah.
Maritim katanya, turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili 07-8916591.- MalaysiaGazette
















