S. Arutchelvan.

JOHOR BAHRU – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan penahanan pengulas politik, Murray Hunter di Thailand atas tuduhan fitnah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta menyifatkannya sebagai satu permulaan menindas suara-suara yang lantang dan kebebasan bersuara di rantau ini.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, penahanan Hunter adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Adakah ini permulaan kepada bentuk kerjasama baharu antara negara-negara ASEAN untuk menindas suara-suara yang lantang dan kebebasan bersuara di rantau ini?

“Sebelum ini, Malaysia telah memudahkan pengusiran pulang pekerja domestik warga Kemboja, Nuon Thoeun, yang dihantar balik ke negaranya kerana mengkritik pemimpin kerajaan mereka.

“Kini, penahanan seorang wartawan dan penyelidik asing yang juga pengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi isyarat yang menggerunkan kepada wartawan yang menjalankan tugas mencari kebenaran di seluruh Asia Tenggara.

“Bangkok sejak sekian lama dianggap sebagai tempat selamat bagi wartawan dan hab serantau bagi memperjuangkan isu hak asasi manusia. Namun, insiden ini mungkin akan menyebabkan ramai wartawan menilai semula keselamatan mereka di sana,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia telah lama menantikan kepulangan Jho Low yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan, namun kini seolah-olah memburu Hunter lebih diutamakan.

Sudah tiba masanya ujar Arutchelvan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memberi penjelasan berhubung penahanan itu dan memperjelaskan pendirian Malaysia terhadap kebebasan media serta kerjasama kehakiman rentas sempadan.

“PSM menyambut baik berita Murray Hunter telah dibebaskan dengan jaminan polis. Namun begitu, kami memandang serius tindakan MCMC yang mahu menggunakan mahkamah Thailand untuk meneruskan kes fitnah ini.

“Sekiranya diteruskan, ia akan menjadi satu duluan yang berbahaya di rantau ini, satu keadaan di mana kerajaan-kerajaan bekerjasama untuk membungkam pengkritik di luar sempadan negara mereka,” katanya.

PSM katanya, berdiri teguh bersama-sama semua wartawan, penyelidik dan aktivis yang mengamalkan hak kebebasan bersuara mereka.

“Perjuangan untuk demokrasi tidak berakhir di sempadan negara, dan begitu juga komitmen kita untuk mempertahankannya,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Hunter, seorang warga Australia, dibebaskan dengan jaminan semalam selepas ditahan pada 29 September lalu dan kini menunggu perbicaraan pada 17 November ini, di mana beliau mendakwa MCMC akan dipanggil sebagai pihak pendakwa.

Berdasarkan dokumen rasmi mahkamah dan laporan polis, Hunter didakwa di bawah Seksyen 328 Kanun Jenayah Thailand atas kesalahan fitnah, di mana empat artikelnya yang disiarkan di platform penulisan Substack dipetik sebagai bahan fitnah.

Dokumen tersebut turut menyertakan pautan ke tulisan Hunter di Substack, di mana beliau mengkritik MCMC, polis Malaysia, serta pemimpin UMNO kerana didakwa mempermainkan Perlembagaan demi kepentingan sendiri dan mengabaikan kepentingan awam.

Hunter, yang juga seorang penyelidik akademik, menafikan tuduhan itu dan menyifatkan kandungannya tidak wajar dianggap sebagai kesalahan jenayah yang menyebabkan mangsa menanggung kerosakan reputasi, penghinaan, dan kebencian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast