JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan sembilan warga asing selepas menggempur beberapa lokasi panas sekitar daerah ini semalam.
Operasi penguatkuasaan Ops Selera, Ops Belanja, Ops Minyak dan Ops Kutip itu bermula pukul 1 petang di premis-premis perniagaan yang menjadi penempatan warga asing.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan tersebut melibatkan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, operasi yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan telah berjaya menahan kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Kita menyasarkan sektor-sektor perniagaan seperti premis bengkel kenderaan dan kedai menjual peralatan elektrik yang dikenal pasti menggaji atau melindungi PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan sembilan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan seorang lelaki dewasa warga Bangladesh dan seorang lelaki dewasa warga Indonesia.
Turut ditahan katanya, dua lelaki dewasa warga Pakistan, empat lelaki dewasa warga India dan seorang wanita dewasa warga Myanmar.
“Mereka yang ditahan dipercayai bekerja di premis berusia dalam lingkungan 22 hingga 62 tahun bekerja sebagai mekanik dan jurujual di kedai elektrik tersebut,” katanya.
Jelasnya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu katanya, sekeping Borang 29 iaitu saman terhadap saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Tambahnya, majikan pula sedang disiasat sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















