KUALA LUMPUR – Memasuki usia 58 tahun penubuhannya hari ini (1 Oktober 2025), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus berkembang sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam memerangi rasuah.
Bermula sebagai sebuah badan yang lebih memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang, SPRM kemudiannya beradaptasi dan turut melibatkan aspek pencegahan dan pendidikan antirasuah di semua peringkat masyarakat.
Hari ini, SPRM terus berkembang seiring dengan transformasi dunia digital dan teknologi khususnya kepesatan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan jenayah rasuah semakin kompleks dan lebih mencabar.
Sehubungan itu, seperti yang dijelaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, agensi tersebut tidak boleh terus berada di takuk lama, sebaliknya memerlukan kaedah dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan tuntutan zaman masa kini.
Ke arah itu, jelas beliau, pelbagai langkah telah diambil sama ada dari aspek pencegahan; pendidikan dan kesedaran berkenaan jenayah rasuah.
Sebagai contoh, ujarnya, SPRM kini lebih mendekati masyarakat menerusi platform-platform media sosial sama ada dalam pelaporan jenayah atau penyampaian dasar serta polisi yang sedang dilaksananakan agensi terbabit.
Dalam masa sama, tambah beliau, SPRM bekerjasama rapat dengan agensi pendidikan sama ada di peringkat kementerian; agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati generasi muda seawal peringkat prasekolah hinggalah ke universiti dalam mendidik mengenai kepentingan menolak amalan rasuah bermula di peringkat akar umbi.
Di peringkat SPRM pula, jelasnya, pegawai-pegawai agensi itu sentiasa dititikberatkan dengan keperluan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan menerusi kursus-kursus berkaitan sama ada di dalam atau luar negara.
Tambah Azam, paling mustahak bagi SPRM dalam melangkah ke tahun-tahun hadapan juga adalah bagaimana badan itu mampu mematahkan jenayah rasuah khususnya melibatkan kartel atau kes berprofil tinggi dengan nilai yang besar.
Sebagai contoh, katanya, kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB); projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II); kartel penyeludupan membabitkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM); `counter setting’ di KLIA dan banyak lagi.
Menurut beliau, dalam kes-kes seperti itu, SPRM bukan sahaja berdepan dengan tekanan daripada masyarakat yang mahukan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya, malah lebih utama adalah mengembalikan semula dana yang diseleweng kepada negara.
Berkongsi statistik kejayaan penguatkuasaan dan pendakwaan rasuah oleh SPRM sepanjang tahun ini misalnya, Azam berkata, setakat 31 Julai lalu, sebayak 728 kertas telah dibuka yang mana daripada jumlah itu, 109 melibatkan kes berprofil tinggi, tumpuan umum dan sensitif.
Dari segi statistik sitaan, lucut hak, pembekuan, kompaun dan kaedah lain pemulihan aset pula, ia melibatkan nilai lebih RM6.5 bilion sepanjang tahun ini setakat 29 Ogos lalu.
“Tumpuan akan turut diberikan SPRM kepada usaha pemulihan aset hasil jenayah rasuah berdasarkan cadangan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) (Eng: Deferred Prosecution Agreement),” katanya.
Tambah Azam, DPA itu penting bagi membolehkan SPRM bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan rasuah di negara-negara lain terutama melibatkan aset-aset yang terlibat dalam siasatan yang berada di luar negara.
Ujarnya, ketika ini, banyak hasil negara daripada jenayah rasuah seperti penipuan, jenayah ekonomi sehinggalah ke jenayah kewangan yang berada di luar negara yang menjadi tanggungjawab serta keutamaan kepada SPRM untuk diselamatkan.
Sementara itu, Azam menambah, di sebalik perhatian terhadap kes-kes berprofil tinggi, SPRM turut memberikan perhatian serius kepada isu penyelewengan dalam pengurusan dana kerajaan melibatkan sektor perkhidmatan awam termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).
Seperti yang pernah dinyatakan beliau sebelum ini, isu rasuah dalam sektor awam menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM277 bilion, iaitu satu jumlah ketirisan sangat besar yang sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat rakyat dalam pelbagai lapangan.
Antara penyelewengan yang biasa berlaku dalam sektor perkhidmatan awam itu, jelasnya, dari sudut menaikkan nilai tender atau kos projek serta kegagalan pihak berwajib mengutip hasil negara sama ada di pintu masuk sempadan atau dalam bentuk cukai, lesen dan sebagainya.
“Sebab itu SPRM amat menyokong Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini yang turut menekankan aspek ketelusan dalam perolehan kerajaan.
“Akta ini turut mewajibkan supaya pihak yang memasuki tender (sebut harga) mengiystiharkan kepentingan dimiliki mereka, sekali gus mengelakkan wujudnya monopoli atau kartel yang menguasai banyak syarikat tender,” katanya.
Dalam masa sama, tambah Azam, SPRM ketika ini juga sedang membangunkan satu sistem untuk dibentangkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) yang boleh menilai secara digital dengan bantuan AI permohonan sebut harga (tender) bagi sesebuah projek.
Jelasnya, sistem itu dapat mengurangkan keterlibatan kakitangan (manusia) dalam menilai syarikat tender, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah di beberapa peringkat kelulusan projek.
“Sekiranya sistem ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan mencapai matlamatnya, kita akan memperluaskan penggunaannya di kementerian dan agensi kerajaan lain, termasuk dengan pihak swasta yang berminat,” katanya. – MalaysiaGazette
















