Ultra Malaya

KUALA LUMPUR – Penyokong tegar skuad bola sepak kebangsaan, Ultra Malaya, menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penerangan mengenai permohonan dan proses kewarganegaraan tujuh pemain warisan yang dikini digantung daripada mewakili negara.

Menurut kumpulan penyokong itu, FAM diminta menerangkan apakah kesilapan teknikal yang telah dilakukan ketika penyerahan dokumen kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan bagaimana kebodohan itu boleh berlaku.

“Sudah empat hari maruah negara dan Harimau Malaya dipijak-pijak dan dimalukan di pentas antarabangsa, kami menuntut pihak yang bertanggungjawab memberi penerangan dengan jujur apa sebenarnya yang berlaku,” katanya menerusi hantaran Facebook UM’07, hari ini.

Pada 26 September lalu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya menyatakan FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Menurut Ultra Malaya, KDN dan JPN juga perlu menerangkan bagaimana apa yang terkandung Perkara 19 Perlembagaan Malaysia bertentangan dengan kelulusan permohonan kerakyatan tujuh pemain terbabit.

Tambahnya, Ketua Pegawai Ekskutif pasukan kebangsaan dan Timbalannya perlu mendedahkan susur galur pemain-pemain terbabit kerana ia penting bagi meredakan pelbagai spekulasi yang timbul dari kesamaran berkenaan perkara itu selain dapat memulihkan sedikit sebanyak imej negara dan Harimau Malaya.

“Ketika ini rakyat dan penyokong Harimau Malaya berpecah dan berbalah mengenai isu ini akibat dari pelbagai cerita yang timbul,” ujarnya.

Kumplan penyokong itu berkata, walaupun kecewa dan marah dengan alasan kesilapan teknikal FAM, mereka menyokong sepenuhnya usaha FAM membuat rayuan kepada FIFA demi memulihkan imej negara dan Harimau Malaya.

“Kebodohan kesilapan teknikal FAM akan kami ajar sebaik isu ini selesai!,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast