KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa terdapat dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu yang `tersimpang’ di perjalanan akibat tekanan atau habuan.
Menurut beliau yang dikenali sebagai Peja, perkara itu berlaku meskipun Bersatu tertubuh atas semangat cintakan negara dan perjuangan menentang rasuah, salah guna kuasa pemimpin kerajaan yang melampau serta keazaman mempertahan kedaulatan Perlembagaan.
Bagaimanapun, ujarnya, Bersatu akan sekali lagi bangkit dari apa jua masalah yang sedang dihadapi dan akan sentiasa berjuang demi rakyat dan kerana Allah.
“Kami berdepan dengan pelbagai masalah rakyat akibat kelemahan pentadbiran kerajaan. Kami akan terus memberikan penumpuan kepada bebanan ekonomi yang menghimpit kehidupan rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Tambah Ahmad Faizal, sejak awal penubuhannya, Bersatu telah diuji dengan pelbagai cabaran getir yang memeritkan.
Katanya, pemimpin Bersatu juga silih berganti namun perjuangannya kekal utuh dan parti itu kini terus berkembang sehingga ahlinya di seluruh negara mencapai angka memberangsangkan.
Selain itu, ujar beliau, usia muda Bersatu juga bukan penghalang untuk membuat pelbagai keputusan besar di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat berpengalaman.
“Berkat doa, usaha tanpa penat lelah kesemua pemimpin kami di semua peringkat, Bersatu akan bangkit dengan lebih berjaya.
“Bersatu bakal memimpin negara dan mengemudi kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik,” katanya.
Bersatu kini berdepan konflik dalaman serius susulan pelbagai pendedahan yang dibuat bekas Ketua Penerangan parti itu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada sidang akhbar minggu lalu.
Antara lain, Wan Saiful mendedahkan, beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Sandakan, Sabah, pada 2019 sebagai tulen.
Sehubungan itu, Wan Saiful mendakwa Mohamed Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video terbabit tidak diselesaikan.
Wan Saiful pada sidang media sama turut mendakwa akuan bersumpah (SD) yang dikumpul membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu, sebaliknya hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin bagi menyusun pelan peralihan parti. – MalaysiaGazette
















