JOHOR BAHRU – Pas Johor mendesak kerajaan Malaysia segera mengambil tindakan dan mencari jalan untuk membebaskan 12 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang kini ditahan tentera Israel.

Ketua Penerangan Perhubungan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, pihaknya mengecam keras tindakan Israel yang jelas melampaui batas undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

“Pas Johor menzahirkan rasa dukacita serta kebimbangan mendalam terhadap perkembangan terkini Global Sumud Flotilla yang sekali lagi berdepan tindakan kejam rejim Israel termasuk ancaman ketenteraan, gangguan komunikasi serta penahanan aktivis kemanusiaan.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, seramai 201 peserta Global Sumud Flotilla telah ditahan tentera Israel termasuk 12 warganegara Malaysia.

“Pada masa yang sama, Pas Johor menyatakan sokongan terhadap pendirian tegas kerajaan Malaysia yang mengecam tindakan zalim tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Facebook miliknya hari ini memaklumkan sudah menghubungi beberapa pemimpin dunia.

Antaranya Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio supaya campur tangan dalam membebaskan semua aktivis kemanusiaan GSF yang ditahan rejim Israel.

Menurut Perdana Menteri, beliau bersama-sama Kementerian Luar Negeri turut menghubungi Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman serta Presiden Mesir, Fatah Al-Sisi berhubung usaha yang sama.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, Pas Johor menggesa kerajaan negeri agar turut sama menzahirkan pendirian rasmi bagi mengecam tindakan kejam itu.

Sebagai sebuah negeri yang prihatin katanya, adalah wajar bagi pimpinan kerajaan negeri untuk menyuarakan solidariti dan membantah kezaliman ini, selari dengan sentimen majoriti rakyat Johor.

Sementara itu katanya, Pas Johor mendesak Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN, untuk mempertimbangkan semula jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.

“Hal ini kerana masyarakat Islam di Malaysia serta komuniti antarabangsa amat menyedari keterlibatan dan peranan Amerika Syarikat dalam mendukung tindakan penindasan serta kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast