KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri mengesahkan, pihaknya telah menerima perkembangan bahawa kesemua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel berada dalam keadaan selamat, sihat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu Wisma Putra memaklumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memberi arahan jelas kepada Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama segera daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
“Menteri Luar Negeri telah mengeluarkan arahan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv,” kata kenyataan itu.
Langkah diplomatik ini, menurut Wisma Putra, adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan Malaysia untuk memastikan keselamatan serta pembebasan segera kesemua peserta flotilla, termasuk 23 rakyat Malaysia yang kini berada dalam tahanan Israel.
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Mohamad turut berhubung dengan beberapa pemimpin dan rakan sejawat negara sahabat, termasuk dari Amerika Syarikat, bagi mendapatkan sokongan mereka.
Malaysia turut menegaskan bahawa penahanan peserta flotilla itu adalah tidak sah, malah menuntut agar mereka dilayan mengikut undang-undang antarabangsa dan dibebaskan segera.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat di luar negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencabulan hak asasi,” tegas kenyataan itu lagi.
Anwar petang tadi mengesahkan rejim Israel telah menahan 23 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).
Anwar berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi memaklumkan perkara tersebut. – MalaysiaGazette
















