JOHOR BAHRU – Tindakan rejim Israel menahan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) terdiri daripada masyarakat sivil dan aktivis keamanan dari seluruh dunia adalah tidak berperikemanusiaan.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim berkata, tindakan kejam itu adalah satu lagi bukti bahawa Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa.
Jelasnya, ia termasuk menafikan hak asasi manusia serta menindas usaha masyarakat dunia untuk menyuarakan solidariti bersama-sama rakyat Palestin yang sedang menderita akibat penindasan berdekad lamanya.
“PKR Johor berdiri teguh bersama-sama pendirian parti dan seluruh rakyat Malaysia dalam menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan.
“Kita juga mendesak komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan tegas terhadap keangkuhan Israel,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersolidariti, memperkukuh gerakan kemanusiaan, dan tidak membiarkan penindasan itu berterusan tanpa bantahan.
PKR Johor yakin perjuangan membela rakyat Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat.
Seramai 17 sukarelawan Malaysia menyertai misi kemanusiaan ke Gaza itu dan disahkan telah ditahan tentera Israel pagi tadi .
Mereka dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas Zinonis setakat di perairan Gaza pagi ini.
Mereka termasuk penyanyi, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.- MalaysiaGazette
















