Keadaan motosikal dinaiki mangsa dalam kemalangan di Jalan Gebeng, Kuantan pagi tadi

KUANTAN – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal dinaikinya bertembung sebuah lori di Jalan Gebeng, berhampiran Stesen Minyak BHP pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa, Alif Zafrin Amran, 24 menunggang sebuah motosikal Yamaha Y15 menuju ke arah Gebeng dari Kuantan.

“Bagaimanapun, apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah lori Tipper keluar daripada simpang sebelah kiri, mengakibatkan mangsa tidak sempat mengelak dan telah melanggarnya,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan kemalangan itu, mangsa yang beralamat di Tanah Putih Baru, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala pemandu lori yang merupakan lelaki berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast