KUALA LUMPUR – Seramai 23 penduduk Kampung Sungai Baru gagal menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan mereka berpindah ekoran perintah pelaksanaan pemilikan kosong diberikan kepada pemaju.
Hakim, Su Tiang Joo memutuskan demikian selepas menolak rayuan penghuni rumah teres tersebut untuk menggantung perintah terdahulu yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing.
Mahkamah turut memerintahkan 23 penghuni itu membayar kos berjumlah RM10,000 kepada pemaju, KL City Gateway Sdn. Bhd.
Peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili penduduk berkata, antara alasan hakim menolak rayuan itu adalah kerana pelaksanaan perintah pengosongan tersebut telah dikuatkuasakan baru-baru ini.
“Kami diberi peluang untuk menulis surat kepada peguam pemaju agar penghuni dibenarkan memasuki kediaman untuk mengambil barang-barang yang masih ada.
“Mahkamah tidak memberikan sebarang tempoh (untuk menulis surat kepada pemaju), ia boleh dilakukan pada bila-bila masa,” ujarnya selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar hari ini.
Penduduk tersebut merayu keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman pada 15 Julai lalu yang menolak permohonan mereka menangguhkan perintah pemilikan kosong unit kediaman teres yang diberikan kepada pemaju berkenaan.
Rosal Azimin selanjutnya menyatakan beliau sudah berbincang dengan seorang lagi peguam, Azura Mokhtar bagi mendapatkan arahan lanjut sama ada akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh 30 hari berdasarkan tempoh yang ditetapkan undang-undang,” ujarnya.
Sementara itu, Azura memaklumkan prosiding rayuan hari ini hanya melibatkan 23 penghuni walaupun saman pemula yang difailkan melibatkan 179 pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dinamakan sebagai responden.
KL Gateway yang didahulunya dikenali sebagai Ritzy Gloss Sdn. Bhd. memfailkan saman pemula bagi mendapat perintah untuk melaksanakan milikan kosong terhadap rumah teres di kampung berkenaan.
Pada 11 September lalu, operasi pengusiran di Kampung Sungai Baru dilaporkan bertukar kecoh sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Menurut laporan media, Pengerusi Komuniti Kampung Sungai Baru, Dzulafian Idris yang merupakan antara penduduk yang telah menandatangani perjanjian dengan pihak pemaju berkata, mereka hanya mahu projek pembangunan itu diteruskan selepas lebih lapan tahun menunggu.
“Apa yang kami harapkan adalah pembangunan ini dapat disegerakan. Walaupun terdapat kelewatan disebabkan proses mahkamah, kami tetap menunggu janji pemaju agar hak kami dikembalikan apabila projek ini siap kelak,” jelasnya.- MalaysiaGazette














