KUALA LUMPUR – Kapal terakhir yang masih belayar dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza dikenali sebagai Marinette telah dipintas tentera Israel selepas memasuki kawasan Zon Merah.
Menurut siaran langsung kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC), sekumpulan anggota tentera Israel bersenjata dilaporkan menaiki kapal berkenaan sekitar pukul 3.30 petang tadi.
Marinette ketika itu berada di Zon Merah 2, kira-kira 66 batu nautika dari pesisir Gaza sebelum dipintas.
Bagaimanapun, kapal tersebut tidak membawa sebarang wakil dari Malaysia kerana kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai flotila itu sudah ditahan lebih awal dalam siri pintasan terdahulu.
Insiden berkenaan menandakan semua kapal yang menyertai misi kemanusiaan GSF telah berjaya dihalang daripada meneruskan pelayaran mereka ke Gaza.
Perkembagan selanjutnya kemungkinan besar akan dimaklumkan dalam lagi sidang media di Sumud Nusantara Crisis Centre (SNCC) diketuai oleh Datuk Sani Araby Abdul Alim. -MalaysiaGazette
















