Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menunjukkan gambar kapal 'Huga' yang dinaiki Zizi Kirana, dibawa ke Pelabuhan Ashdod selepas ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto SADIQ SANI, 02 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Sidang media berhubung penahanan 23 rakyat Malaysia oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dijadual berlangsung pada pukul 4 petang ini.

Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Crisis Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim dijangka mengetuai sidang media tersebut.

Ketika ini difahamkan, beliau berada di Wisma Putra bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai penahanan sukarelawan terbabit.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengadakan perbincangan telefon dengan pemimpin Turkiye, Mesir dan Arab Saudi bagi menyelaras tindakan diplomatik susulan insiden itu.

Menurut Sani, Pejabat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Wisma Putra, Kementerian Komunikasi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapat perkembangan kesemua sukarelawan Malaysia yang ditahan.

SNCC dalam satu kenyataan turut mengecam tindakan rejim Zionis yang memintas konvoi kemanusiaan itu sambil menyifatkannya sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan kerana misi tersebut digerakkan masyarakat sivil dari 45 negara tanpa sebarang elemen keganasan.

Sementara itu, aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengesahkan peserta GSF yang ditahan telah mula dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu memaklumkan, barisan peguam GSF sudah mula berhubung dengan para sukarelawan terbabit bagi menyediakan khidmat guaman. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast