KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pendang mempersoalkan sejak bila mengkritik Datuk Tun Faisal Tun Faisal dianggap mengecam parti tersebut.
Abdul Razak Khamis mempersoalkan perkara itu selepas beliau diarahkan untuk hadir ke Lembaga Disiplin Bersatu pada Rabu 8 Oktober 2025 atas dakwaan telah membuat serangan dan ugutan terhadap Ketua Penerangan Bersatu itu.
Menurut beliau, tuduhan serangan dan ugutan itu merujuk kepada hantarannya menerusi Facebook pada 12 September lalu.
Menerusi hantaran tersebut, Abdul Razak melahirkan kebimbangan beberapa komen daripada Tun Faisal yang dikhuatiri boleh melukakan hati rakan komponen Perikatan Nasional (PN) apabila membayangkan seolah-olah Bersatu mahu menjadi abang besar dalam PN.
Abdul Razak berkata, beliau bergelumang dengan rakan-rakan komponen setiap hari, terutama Pas dan berharap parti tersebut tidak berkecil hati kerana semua komen itu adalah pandangan peribadi Tun Faisal sahaja.
Katanya, komen-komen Tun Faisal yang berbunyi ugutan kepada sesama ahli juga amat tidak membantu usaha memperkukuh parti.
Lantaran itu, sebagai orang lama dalam parti, beliau berpandangan lebih baik isu dalaman dikekalkan sebagai perbincangan dalaman dan secara keluarga.
“Saya nasihatkan Tun Faisal agar jangan melanggar arahan yang sebegitu jelas dengan komen-komen yang mengundang perpecahan. Jangan juga kerana mulut kamu seorang yang celupar rakan-rakan komponen menganggap Bersatu sudah bongkak dan takbur.
“Ingatlah jawatan yang kamu pegang ini hanyalah jawatan lantikkan. Kamu tidak sehebat yang kamu rasa. Jaga sikit mulut kamu sebab kami yang membina parti ini. Kamu itu terlalu mentah dalam Bersatu,” tulis Abdul Razak.
Abdul Razak yang mempersoalkan asas dakwaan Lembaga Disiplin Bersatu kerana mempertahankan kenyataan beliau sebagai teguran dan peringatan kepada Tun Faisal agar berhati-hati membuat kenyataan kepada awam.
Jelasnya lagi, peringatan beliau ini bertujuan untuk mengelak daripada berlaku ketegangan dan salah faham antara rakan parti gabungan.
“Saya ingin bertanya, sejak bila pula mengkritik Tun Faisal dianggap mengkritik parti? Sejak bila Tun Faisal itu adalah parti? Takkanlah begitu istimewanya dia sehingga apabila dia tersinggung maka lembaga disiplin terus panggil?
“Bagaimana pula komen-komen Tun Faisal yang jauh lebih banyak menyinggung perasaan kami diakar umbi parti?,” soal Abdul Razak lagi. – MalaysiaGazette
















