Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby bercakap pada sidang media harian mengenai perkembangan terkini kapal-kapal misi Global Sumud Flotilla di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto SADIQ SANI, 02 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) sedang membuat persediaan dengan dokongan kerajaan untuk konvoi bantuan darat besar-besaran Malaysia ke Gaza sekiranya koridor kemanusiaan Rafah dibuka.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ia mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Ini adalah mesej khas saya untuk seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pencinta keamanan, pendokong pembebasan Gaza dan Palestina, Misi Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) ini menjadi saksi dan bukti besar sejarah yang berjaya membangkit gelombang kesatuan semua kita yang punyai hati nurani dan ehsan yang begitu tinggi hingga terserlah citra Malaysia yang peduli Ummah tanpa mengira bangsa, agama serta perbezaan fahaman dalam hal kebaikan.

“Sesungguhnya Malaysia kita miliki cara dan gaya tersendiri untuk membebaskan Gaza dan Palestin hingga merdeka,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Sani Araby, Sumud Nusantara mengajak semua pendokong untuk terus mendoakan agar kesemua baki delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang masih dalam tahanan dibebaskan segera.

“SNCC juga mengajak seluruh rakyat Malaysia terus bersatu hati dan melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah agar perang di Gaza dapat dihentikan segera merujuk perkembangan positif rundingan antara pihak Hamas dan rejim Israel yang sedang berlaku,” katanya.

SNCC mengesahkan semua delegasi telah diterbangkan dari Ramon Airport pukul 6.40 petang waktu Malaysia menggunakan pesawat komersil Turkish Airlines yang diurus serta ditaja oleh kerajaan Türkiye.

SNCC juga memaklumkan pada 8.40 malam waktu Malaysia, semuadelegasi Malaysia selamat mendarat di lapangan terbang Istanbul dan disambut oleh oleh pihak kedutaan Malaysia di Turkiye dan Wisma Putra serta kerajaan Turkiye.

“Mereka akan bermalam di Istanbul dibawah jemputan dan tajaan kerajaan Turkiye sebelum diterbangkan pulang melalui penerbangan Turkish Airline yang juga ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Türkiye,” katanya.

Delegasi Malaysia dijangka tiba ke tanah air pada Selasa atau Rabu ini.

Sumud Nusantara juga menzahirkan ucapan jutaan terima kasih dan terharu mewakili seluruh keluarga, delegasi, sekretariat serta rakyat Malaysia yang menjadi pendokong misi ini atas kepedulian dan kepimpinan Perdana Menteri serta pihak kerajaan Malaysia yang bersungguh-sungguh berusaha menggunakan hubungan erat diplomatik antabangsa untuk negosiasi ini serta proses mengeluarkan 23 rakyat Malaysia.

Pihak SNCC mengesahkan 137 daripada 462 peserta flotila dari beberapa buah negara Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan termasuk Malaysia yang ditahan telah dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast