An overview of the new student registration period at Universiti Malaya for the 2025/2026 session.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya menyambut seramai 6,376 pelajar baharu Sarjana Muda yang memulakan pengajian bagi Sesi Akademik 2025/2026 hari ini.

Majlis pendaftaran ini bukan sekadar formaliti, tetapi menjadi titik permulaan kepada pengalaman akademik yang bakal membentuk generasi pemimpin masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir meninjau suasana pendaftaran.

“Tahniah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang kini menjadi sebahagian daripada sebuah institusi penting dan membanggakan negara. Kami berharap anda semua akan memberikan sepenuh tumpuan kepada pengajian serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi. Semoga anda semua menjadi insan yang hebat, berilmu, dan berbakti kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menyifatkan hari ini sebagai detik bersejarah dan membanggakan bukan sahaja buat para mahasiswa, malah juga keluarga yang sentiasa menjadi pendorong utama sepanjang perjalanan mereka.

“Hari ini bukan sekadar hari anda melangkah masuk ke alam pengajian tinggi, tetapi juga permulaan kepada harapan, pengalaman, dan peluang baharu.

“Di Universiti Malaya, para mahasiswa bukan sahaja akan menimba ilmu, malah akan menemui rakan baharu serta membina kenangan yang kekal sepanjang hayat. Pengajian ini bukan hanya mengenai buku dan kuliah, tetapi tentang perjalanan yang akan membentuk identiti serta arah tuju masa depan anda,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para mahasiswa agar berani mencabar diri, menyertai pelbagai aktiviti, bertanya soalan, serta menghargai setiap detik perjalanan di Universiti Malaya.

“Masa di universiti mungkin singkat, tetapi pengalaman yang diperoleh akan menjadi paling berharga. Pihak pengurusan Universiti Malaya bertekad memastikan pengalaman anda di sini bukan sahaja bermakna, tetapi juga menyeronokkan.

“Ini adalah masa anda, kisah anda, dan masa depan anda. Universiti Malaya berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Selamat datang ke keluarga besar Universiti Malaya, mari kita ciptakan pengalaman yang luar biasa, bersama-sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast