Ardell Aryana

KUALA LUMPUR – Dua aktivis Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dihantar ke sebuah hospital di Istanbul, Turkiye untuk menerima rawatan lanjut, hari ini.

Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin berkata, kedua-duanya, Ardell Aryana dan Haikal Abdullah diberi rawatan kerana mereka merupakan antara aktivis yang diperlakukan dengan kekerasan oleh rejim Zionis ketika ditahan.

“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan. Ketika ditahan, rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka.

“Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah dengan tekanan darah rendah. Haikal pula mendakwa beliau dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya. Beliau kini memerlukan rawatan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Tribune hari ini.

Selain Ardell dan Haikal, Fahmi yang kini turut berada di Istanbul berkata, beberapa lagi aktivis Malaysia turut diperlakukan sedemikian termasuk PU Rahmat, Heliza dan Hazwani Helmi.

Peguam, Fahmi Abd Moin

Bagaimanapun aktivis lain berada dalam keadaan sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Turkiye, semalam.

Tambah beliau, CENTHRA akan mengambil keterangan semua aktivis Malaysia sebaik mereka pulang ke tanah air berhubung kekejaman rejim Zionis terhadap mereka.

Keterangan itu termasuk pengalaman mereka di atas kapal, ketika ditahan, sehinggalah dikeluarkan daripada Penjara Ketziot.

“Kronologi berkaitan penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan. Jika bukti mencukupi, kami bercadang memfailkan aduan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan kepada Israel.

“Sekiranya tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, tindakan lanjut termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast