PERMATANG PAUH – Kementerian Pendidikan (KPM) masih menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kewajipan pemakaian pelitup muka di sekolah susulan dakwaan peningkatan jangkitan influenza.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebarang arahan atau garis panduan berkaitan langkah pencegahan penyakit berjangkit itu akan diputuskan oleh KKM terlebih dahulu.
“Kalau ada nasihat dan arahan daripada KKM kita akan ikut dan tak ada masalah setakat ini di peringkat kami untuk melaksanakan apa-apa saranan dan syor daripada KKM.

“Jadi kita masih menunggu saranan daripada KKM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman, Kubang Semang di sini, hari ini.
Terdahulu tular dakwaan beberapa sekolah yang mewajibkan pelajar memakai pelitup muka bagi mengekang penularan influenza.
Media sbelum ini melaporkan kes jangkitan influenza di Pulau Pinang masih berada pada tahap terkawal, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi.
Bellau berkata, analisis terkini trena Survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) berasaskan klinikal bagi tempoh Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37 tahun ini merekodkan kadar antara 9.5 hingga 10.5 peratus.
“Bagi Survelan ILI berasaskan makmal pula, kadar positif mencatat sedikit peningkatan iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus, dengan Influenza A sebagai strain dominan.
“Namun, kadar positif ini masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2024 iaitu antara 35.6 hingga 51.1 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette
















