Teng Chang Khim
Teng Chang Khim

KUALA LUMPUR – Bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim secara sinis mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan.

Dalam satu hantaran di media sosial, bekas wakil rakyat DAP itu menyindir situasi tersebut sebagai sesuatu yang hanya boleh berlaku di Malaysia.

“Bisa (boleh) berlaku di Malaysia sahaja, yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk,” tulisnya di Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada penjelasan Ahmad Zahid mengenai majlis rasmi kerajaan yang didakwa menghidangkan minuman beralkohol yang mencetuskan pelbagai reaksi termasuk daripada pembangkang dan masyarakat sivil.

Ahmad Zahid hari ini berkata, UMNO menolak sekeras-kerasnya tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang dianggap tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Beliau juga berkata, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Beliau berkata, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tenguk lah pulak Siapa organizer dia. Kalau organizer dia Kementerian, then Kementerian kena ikut peraturan kerajaan kan? Tapi Kalau organizer dia company2 yg terlibat dengan pelancungan, itu ikut peraturan company2 dia org kan, bukan kerajaan. Itu je. Apa yg pening2?

Comments are closed.