SYDNEY – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa melepaskan sehingga seratus das tembakan ke arah jalan sibuk di Sydney sehingga mencederakan dua puluh mangsa.
Polis pada Isnin bagaimanapun menolak sebarang kaitan insiden itu dengan kegiatan pengganas atau kumpulan jenayah terancang.
Petang Ahad lalu, suspek yang berusia 60 tahun dilaporkan melepaskan tembakan rambang ke arah kenderaan yang lalu lalang dan anggota polis di sebuah kawasan di Inner West, Sydney.
Pekerja pejabat, Joe Azar, berkata beliau sedang bekerja di seberang jalan apabila mendengar bunyi seperti letupan yang disangkakan mercun atau batu dilempar ke arah tingkap.
“Cermin depan sebuah kereta tiba-tiba pecah, kemudian kaca hentian bas pula hancur,” katanya kepada akhbar The Sydney Morning Herald.
“Perasaan seperti tidak percaya mula timbul. Apakah yang sedang berlaku?
“Keadaan sangat panik. Semuanya berlaku begitu pantas hingga saya tak sempat faham apa yang sedang terjadi,” Katanya.
Pemangku Ketua Polis New South Wales, Superintenden Stephen Parry, berkata antara 50 hingga 100 das tembakan dilepaskan.
Pasukan besar polis mengepung kawasan itu dan menutup jalan sebelum menyerbu sebuah unit di atas premis perniagaan dan menahan seorang lelaki selain merampas dua laras senapang.
Suspek dibawa ke hospital untuk dirawat atas kecederaan yang dialami semasa ditahan. Setakat ini, tiada pertuduhan lagi dikenakan terhadapnya.
Menurut polis, seorang lelaki datang sendiri ke hospital dengan kesan tembakan dan kini berada dalam keadaan “serius”.
Seramai 19 lagi orang dirawat akibat terkena serpihan atau kaca pecah, dengan beberapa mangsa dibawa ke hospital.
— “Menakutkan” —
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, pada Isnin menggambarkan kejadian itu sebagai “serius dan menakutkan”.
Motif penembak masih tidak diketahui, namun beliau menegaskan tiada kaitan dengan aktiviti keganasan atau kumpulan jenayah, katanya kepada stesen radio tempatan 2GB.
Seorang saksi yang hanya memperkenalkan diri sebagai Tadgh memberitahu stesen nasional nasional ABC bahawa beliau sedang menonton perlawanan ragbi ketika terdengar bunyi tembakan.
“Ia sangat kuat, ‘bang, bang, bang’ disertai cahaya kilat, percikan api dan asap — semuanya seperti dalam filem,” katanya.
Siasatan polis masih dijalankan.
Insiden tembakan besar-besaran jarang berlaku di Australia. Larangan terhadap senjata automatik dan separa automatik telah dikuatkuasakan sejak tahun 1996, selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang di Port Arthur, Tasmania.
Pada Ogos lalu, suspek bernama Dezi Freeman melarikan diri ke kawasan hutan selepas dituduh membunuh dua pegawai polis — dan masih bebas hingga kini.
Pada tahun 2022 pula, enam orang termasuk dua pegawai polis terbunuh dalam kejadian tembakan berhampiran pekan kecil Wieambilla di Queensland. -AFP
















