KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden arak dihidangkan dalam acara kerajaan yang turut dihadiri beliau sendiri, baru-baru ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, King Sing juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat.
“Menteri Pelancongan perlu menjelaskan bagaimana kegagalan pengawasan (hidang arak) boleh berlaku dalam majlis kerajaan di bawah kementeriannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sabtu lalu, King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin minuman alkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, sebaliknya menjelaskan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Jelas King Sing, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.
Dalam pada itu, kata Farhan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunjukkan ketegasan moral dan politik dengan menegur serta mengambil tindakan terhadap menteri tersebut.
“Persoalannya kini, adakah Perdana Menteri sanggup membiarkan seorang menteri di bawah pentadbirannya merosakkan kepercayaan rakyat dan mencemarkan maruah Islam demi kepentingan politik?” katanya.
Sehubungan itu, Farhan mendesak agar satu siasatan dalaman menyeluruh dijalankan melibatkan aspek penajaan, peranan pemain industri serta kelulusan penyediaan arak dalam majlis rasmi kerajaan.
“Semua pihak yang terlibat mesti dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Menurut Farhan, kerajaan perlu menggubal garis panduan wajib dan tegas untuk semua kementerian, agensi serta GLC bagi melarang sama sekali sebarang bentuk penyediaan atau hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan.
“UMNO, sejak penubuhannya, berdiri teguh mempertahankan Islam sebagai asas pemerintahan negara dan tiang kepada perpaduan rakyat. Pendirian ini tidak akan berubah walau apa pun bentuk tekanan politik.
“Oleh itu, UMNO tidak akan berdiam diri melihat seorang menteri yang gagal menjaga sensitiviti umat Islam serta maruah pentadbiran negara,” katanya.
Tegas Fahan, Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menegaskan, kerajaan tidak boleh menggadaikan nilai agama demi kemajuan pelancongan, malah dunia tidak akan menolak Malaysia kerana kita menegakkan prinsip Islam
“Malah masyarakat dunia akan lebih menghormati Malaysia kerana berpegang pada moral dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Rakyat sedang memerhati. Jika kerajaan terus berdiam diri, ia hanya membuktikan kepimpinan hari ini sanggup menutup mata terhadap kecuaian moral seorang menteri demi kelangsungan politik. Itu satu pengkhianatan agama dan rakyat,” katanya.
Kata Farhan lagi, Pemuda UMNO tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap agama dan akan terus menjadi suara tegas menegur kepimpinan yang alpa.
“Pemuda UMNO Pokok Sena berdiri teguh bersama kepimpinan parti dalam mempertahankan Islam, bangsa dan negara. Tegas dalam prinsip, santun dalam perjuangan.
“Kami menolak kepimpinan yang gagal menjaga maruah negara dan menuntut tindakan segera untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















