Lebih 200 pelajar UMPSA hadir menerima Insentif Kecemerlangan dan Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA dalam Majlis Pilih Untuk Berkongsi di Dewan Sebaguna UMPSA baru-baru ini.

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperuntuk sebanyak RM6.2 juta untuk kebajikan pelajar termasuk insentif kecemerlangan, insentif pendidikan, program keusahawanan dan mobiliti pelajar pada tahun ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA, pihaknya komited memastikan kebajikan pelajar terus terjaga terutama dalam kalangan B40 yang merangkumi 66 peratus mahasiswanya.

Usaha yang digerakkan secara bersistematik serta berterusan oleh Yayasan UMPSA bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni sentiasa memastikan tiada mahasiswa UMPSA yang tercicir akibat daripada mempunyai kekangan atau masalah kewangan.

”Pada tahun 2024, sebanyak RM2.2 juta telah diagihkan melalui Yayasan UMPSA dalam bentuk biasiswa, dermasiswa, zakat, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan dan keperluan asas.

“Hari ini sebanyak RM200,000 diagihkan kepada pelajar baharu UMPSA melalui Insentif Kecemerlangan dan Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Abdul Razak, Insentif Kecemerlangan diberikan secara one-off kepada pelajar cemerlang lepasan diploma, STPM dan setaraf yang memilih UMPSA sebagai universiti pilihan pertama di peringkat ijazah sarjana muda.

Manakala Insentif Pendidikan pula diberikan secara one-off kepada pelajar baharu daripada keluarga B40 sebagai sokongan awal untuk mengurangkan beban pendaftaran masuk ke UMPSA.

Selain itu, seramai 12 pelajar terpilih dalam kalangan keluarga berkeperluan turut menerima biasiswa dan dermasiswa hasil kerjasama Yayasan UMPSA dan Yayasan Noah berjumlah RM260,000 sebagai galakan untuk mencapai kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast