JOHOR BAHRU – Insiden hidang arak dalam majlis kerajaan bercanggah dengan semangat Malaysia Madani yang dilaungkan selain menjejaskan kredibiliti pemerintah dan imej negara.

Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, perbuatan itu juga bercanggah dengan Perlembagaan yang menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan selain bertentangan dengan Pekeliling Perbendaharaan.

“Ini menjejaskan imej Malaysia di mata dunia Malaysia yang dikenali dengan budaya luhur, makanan tradisional, keindahan alam dan keramahan rakyat.

“Mengaitkan majlis rasmi dengan arak memberi gambaran salah seolah-olah Malaysia meraikan budaya mabuk.

“Kegagalan kepimpinan dan akhlak seorang menteri yang pernah terpalit isu kelakuan tidak wajar tidak sesuai dijadikan wajah pelancongan negara kerana ia menjejaskan kredibiliti kerajaan dan imej negara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, walaupun Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa itu adalah ‘inisiatif swasta’, alasan itu tidak boleh diterima kerana penglibatan kerajaan jelas wujud.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas Johor menuntut Perdana Menteri mengambil tindakan segera bagi memastikan larangan hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan ditegakkan sepenuhnya.

Tegasnya, ini termasuk mempertimbang kedudukan King Sing sebagai menteri terbabit yang mencemar maruah negara.

Pas Johor juga katanya, menuntut kerajaan menekankan pelancongan berteraskan nilai budaya dan kesopanan rakyat, bukan budaya alkohol.

“Pas Johor menegaskan maruah Islam sebagai agama Persekutuan mesti dipelihara. Malaysia tidak perlukan arak untuk diraikan. Keindahan alam, kesenian budaya dan senyuman rakyat sudah cukup menjadi tarikan pelancong,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan Tiong dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.

Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam hidangan arak pada majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni San Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang hadir menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan majlis tersebut adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast