Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Kerajaan dipersoal dalam penjelasan pelan pemulangan aset Tabung Haji daripada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary mendakwa beban kewangan entiti itu kini semakin meningkat walaupun sudah enam tahun berlalu sejak penubuhannya.

Ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, UJSB ditubuhkan pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 pada Disember 2018 bertujuan menyelamatkan Tabung Haji.

Namun dakwanya, sehingga kini pelan penebusan dan pemulangan aset masih tidak jelas.

“Kita perlu bercakap jujur. UJSB ditubuhkan kononnya untuk memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji. Ketika itu, aset bernilai RM9.7 bilion termasuk pegangan dalam 106 syarikat tersenarai, 29 hartanah, beberapa hotel dan ladang telah dipindahkan kepada UJSB,” katanya.

Sebagai balasan, UJSB menerbitkan dua sukuk bernilai RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta secara tunai kepada Tabung Haji menjadikan keseluruhan nilai transaksi RM19.9 bilion.

Namun menurut Ahmad Marzuk, jumlah itu bukan keuntungan sebaliknya hutang yang mesti ditebus semula oleh UJSB kepada Tabung Haji.

“Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan komitmen jaminan kerajaan kepada UJSB meningkat kepada RM23.815 bilion bagi tahun 2024 naik hampir RM700 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Tapi selepas enam tahun, hanya RM400 juta atau kira-kira dua peratus daripada sukuk itu yang ditebus,” ujarnya.

Ahmad Marzuk berkata, baki RM19.2 bilion masih belum ditebus sedangkan nilai aset UJSB kini hanya sekitar RM9.7 bilion mewujudkan jurang hampir RM9.5 bilion antara sukuk yang diterbitkan dan aset sebenar yang dipegang.

“Dengan jurang sebesar ini, bagaimana UJSB akan menebus sukuk menjelang tempoh matang pada 2026 dan 2029? Persoalannya, siapa yang akan menanggung jurang ini nanti UJSB, Tabung Haji atau rakyat sebagai pembayar cukai?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan pada 29 September 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan untuk memulangkan semula aset Tabung Haji yang dipegang oleh UJSB.

Manakala pada Februari tahun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula memberi jaminan rundingan itu akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun ini.

“Sekarang sudah bulan Oktober, suku pertama sudah lama berlalu tapi sehingga kini tiada pelan tindakan, tiada pelan pembiayaan dan tiada tarikh sebenar bila aset ini akan dipulangkan. Janji tinggal janji,” katanya.

Ahmad Marzuk turut menegur dasar kerajaan terdahulu yang menurutnya menjual sebahagian besar ladang milik Tabung Haji Plantation pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran sebenar.

“Ini ibarat menjual angsa yang bertelur emas. Apabila kerajaan Perikatan Nasional ambil alih, kita batalkan penjualan itu dan pulihkan ladang tersebut. Tapi sekarang pun kita tidak tahu apa status sebenar ladang-ladang ini,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, Tabung Haji bukan milik kerajaan tetapi milik umat Islam yang menabung ringgit demi ringgit untuk menunaikan ibadah haji, oleh itu pengurusan asetnya perlu berasaskan amanah bukannya keputusan politik.

“UJSB bukan isu teknikal semata-mata. Ia adalah ujian kejujuran dalam menguruskan harta umat. Jangan sembunyikan beban sebenar di bawah angka cantik atas kertas,” tegasnya.

Sebagai langkah penyelesaian, Ahmad Marzuk mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen dwipartisan bagi menilai semula struktur, prestasi dan risiko fiskal UJSB serta membentangkan pelan penebusan sukuk secara berfasa dengan jadual tahunan yang jelas.

“Janji untuk memulangkan aset tanpa pelan penebusan yang jelas hanyalah retorik politik. Kalau kerajaan benar-benar mahu mengembalikan maruah Tabung Haji, bentangkan pelan yang berani dan telus,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast