Yusla (kanan) mengadakan sidang media berkenaan kerja-kerja mambaiki Jalan Kampung Rahmat di Bilik Mesyuarat JKR Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi membaik pulih kerosakan Jalan Kampung Rahmat di sini yang akan bermula 15 Oktober sehingga 30 November ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Yusla Ismail berkata, kerja-kerja tersebut akan dilakukan sepanjang kira-kira dua kilometer, sekali gus laluan itu akan ditutup selama enam minggu.

“Jalan Kampung Rahmat yang menghubungkan Jalan Kluang- Batu Pahat ke Jalan Pontian-Batu Pahat digunakan lebih 200 kenderaan pelbagai jenis termasuk kenderaan berat pada setiap hari.

“Antara kerja-kerja yang akan dilakukan adalah mengorek semula jalan rosak sebelum dilakukan penurapan selain kerja-kerja lain berkaitan jalan seperti mengecat garisan untuk lebih sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat di sini hari ini.

Katanya, sepanjang penutupan itu, semua kenderaan dari kedua-dua Jalan Kluang-Batu Pahat dan Jalan Pontian-Batu Pahat tidak dibenarkan masuk Jalan Kampung Rahmat dan perlu melalui jalan sedia ada.

Menurut Yusla, Jalan Kampung Rahmat dikategorikan sebagai Jalan Negeri R3 yang dibina untuk laluan kenderaan ringan sehingga maksimum 30 tan sahaja.

“Diharapkan orang ramai mematuhi segala arahan yang akan dipasang oleh pihak konsesi pembinaan jalan agar tidak berhadapan sebarang kesulitan atau keselamtan lain,” katanya.

Jalan Kampung Rahmat sepanjang 9.5 kilometer mulai dibina pada 2018 dengan kos RM29 juta sebelum tertangguh selama kira-kira tiga tahun.

Kemudian disambung semula pembinaan pada 2023 menggunakan kos tambahan RM4.5 juta dan siap sepenuhnya pada Disember 2024.

Jalan itu mampu memberi manfaat dianggarkan kepada 40,000 pengguna di sepanjang jalan termasuk di Tanjung Laboh dan Sri Gading.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast