Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan enam motosikal di Lebuhraya LinKedua, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan enam motosikal di Kilometer 0.9 Lebuhraya LinKedua, arah selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan itu berlaku pukul 7.10 pagi ketika mangsa iaitu lelaki tempatan sedang menunggang motosikal di lorong kiri.

“Hasil siasatan mendapati motosikal mangsa telah bergesel dengan dua buah motosikal lain sehingga terbabas dan jatuh atas jalan raya tersebut.

“Kemudian tiga buah motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal yang berada di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang berusia 53 tahun menunggang motosikal jenis Honda RS150R warna putih mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian untuk memberi rawatan awal.

Sementara lima penunggang lain katanya, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Siasatan katanya, masih diteruskan sambil meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut tampil ke pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan dan Pengurusan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07-5101322.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast