Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Teng Chang Khim yang menyindir teguran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak hanya menyerlahkan sikap keangkuhan politik lama DAP.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, malah Chang Khim gagal memahami sempadan antara kebebasan bersuara dan menghormati kepercayaan agama orang lain.

“Malaysia bukan negara sekular bebas nilai, negara ini berasaskan Perlembagaan, yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Isu yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri bukanlah soal politik peribadi, tetapi prinsip asas menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apa jua majlis rasmi kerajaan seharusnya mencerminkan nilai adab, hormat dan tatacara yang sesuai dengan kedudukan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin minuman alkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, sebaliknya menjelaskan ia adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Bagaimanapun Chang Khim seolah-olah mempertahankan tindakan King Sing sambil menyindir Ahmad Zahid dengan mengatakan yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk menerusi akaun Facebooknya, pada Ahad.

Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, sindiran Chang Khim bukan sahaja gagal memahami semangat perpaduan, bahkan hanya menyerlahkan kebodohan politik dan kegagalan merasai denyut nadi rakyat.

“Saya menolak sekeras-kerasnya percubaan mana-mana pihak untuk menjadikan arak sebagai simbol hak individu dalam konteks majlis rasmi kerajaan.

“Saya mengingatkan kepada semua pihak bahawa arak bukan isu remeh, kerana ia jelas diharamkan dalam Islam dan sensitif bagi umat Islam.

“Kenyataan yang memperlekeh hal ini hanya akan menambah jurang perpecahan antara kaum serta mencetuskan ketegangan sosial yang tidak perlu.

“Sebagai bekas pemimpin negeri, Chang Khim sepatutnya menunjukkan teladan dan pertimbangan matang sebelum bercakap di ruang awam,” katanya.

Selain itu, Fariz juga mengingatkan Chang Khim supaya jangan bermain api dengan sensitiviti umat Islam kerana kenyataan provokasinya itu boleh membakar semangat perkauman dan menggugat perpaduan nasional.

“Jika beliau tidak mampu mengawal lidah, maka lebih baik beliau berdiam daripada menjadi batu api yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“Saya juga menyeru semua pemimpin kerajaan agar tidak berdiam diri. Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana individu yang memperlekeh Islam atas nama kebebasan bersuara.

“Jika perkara seperti ini dibiarkan, ia hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak penghinaan terhadap agama dan nilai moral masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Fariz mendesak Chang Khim menarik balik kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.

“Jika beliau benar-benar percaya kepada semangat perpaduan dan hormat antara agama, beliau perlu menunjukkan teladan, bukan keangkuhan.

“Barisan pemuda UMNO berdiri teguh mempertahankan prinsip Hormat Agama, Jaga Maruah, Pelihara Perpaduan sebagai asas keharmonian negara.

“Jangan sampai kerana mulut celupar segelintir individu, kestabilan dan kehormatan yang kita bina selama ini hancur begitu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast