Nurakmal Goh (empat dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi PAM Sabah, Ar. Daniel Koh (empat dari kiri).

KOTA KINABALU – Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memperkenalkan program pengajian baharu iaitu Program Sarjana Muda Sains Senibina dan Program Sarjana Muda Ukur Bahan mulai tahun 2026.

Pengenalan kedua-dua program itu bakal membuka peluang kepada pelajar tempatan yang selama ini terpaksa menyambung pengajian senibina dan ukur bahan di luar negeri untuk terus menimba ilmu di Sabah.

Perkara tersebut dinyatakan selepas satu kunjungan hormat delegasi FKJ UMS yang diketuai Profesor Ar. Nurakmal Goh ke Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah baru-baru ini.

Justeru itu, kunjungan hormat ini adalah satu langkah awal universiti untuk menjalin kerjasama strategik dengan PAM bersempena dengan pengenalan program pengajian baharu tersebut.

“Di samping itu, ini juga bagi mengukuhkan hubungan dengan pengamal industri serta memberi ruang kerjasama melalui seminar, forum, panel penasihat dan projek tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PAM Sabah, Ar. Daniel Koh berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif UMS dan menganggapnya sebagai pencapaian penting bagi pembangunan pendidikan Alam Bina di Sabah.

“PAM Sabah berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan UMS demi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang ini.

“Kerjasama ini diharap dapat diperluaskan melalui pelbagai platform termasuk penerbitan, forum serta aktiviti komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast