JOHOR BAHRU – Tatkala keluarga lain sedang sibuk membeli dan membuat persediaan menyambut Deepavali minggu depan, keluarga R Shanti di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini menyambut seadanya.
Ini kerana ibu kepada 15 anak itu sudah biasa menyambut Deepavali secara sederhana seperti tahun-tahun sebelum ini.
Menurut Shanti, 43, situasi itu bukan lagi janggal baginya dan suami, J Ashokan, 44, serta 15 anak kandung mereka, malah tiada yang merungut atau meminta-minta.
“Kami hanya menyambut Deepavali secara sederhana bagi memastikan perbelanjaan persekolahan anak mencukupi pada bulan depan kerana 10 anak masih belajar.
“Nak beli pakaian dan kelengkapan baharu untuk sambutan Deepavali adalah di luar kemampuan. Saya hanya suri rumah manakala suami bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
“Saya dan suami lebih mengutamakan perbelanjaan dapur selain persekolahan anak supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas tiga anaknya sumbangan pakaian dan duit raya sempena Deepavali di S Subramaniam & Sons Tekstil di Taman Ria Plentong di sini hari ini.
Program berkenaan adalah anjuran Malaysia Hindu Sangam cawangan Masai dan MIC Cawangan Sierra Perdana.
Mengulas lanjut, Shanti bersyukur kerana anaknya-anaknya juga memahami situasi keluarga selain dididik bagi bersikap sederhana termasuk berkongsi kelengkapan yang ada.
“Anak kami berusia antara bayi lapan bulan hingga 22 tahun dan saya bersyukur kerana tiga anak sudah bergelar graduan dan baharu saja menamatkan pengajian.
“Anak sulung perempuan memiliki diploma reka bentuk manakala anak kedua lelaki memiliki diploma dalam bidang elektronik serta anak ketiga lelaki pula dalam bidang kimpalan,” katanya.
Dua daripada mereka katanya, masih mencari pekerjaan sesuai manakala anak ketiga dalam perancangan untuk melanjutkan pengajian.
“Kesemua mereka kerap menjadi contoh baik kepada adik-beradik mereka kerana mereka mengerti pengorbanan kami membesarkan mereka.
“Sejak kecil saya menerapkan beberapa amalan baik bagi anak termasuk menjaga ada, jaga kebersihan serta belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Shanti berkata, pada tahun ini dia bercadang untuk menyambut Deepavali di kediaman keluarga di Flat Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Menurutnya, rumah mereka hanya memiliki tiga bilik namun anak-anaknya sudah biasa dan tidak pernah mengeluh.
Jelasnya, semangat kekeluargaan adalah perkara utama yang perlu diterapkan kepada anak-anak.
“Bukan mudah untuk membesarkan anak yang ramai ditambah pula mereka mempunyai keinginan berbeza namun saya dan suami sentiasa tabah dan berfikiran positif.
“Kami juga berterima kasih atas keprihatinan ramai yang menceriakan sambutan Deepavali keluarga kami dengan sumbangan kelengkapan perayaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Malaysia Hindu Sangam negeri Johor, K Vijayan berkata, sumbangan kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 itu diharap dapat meringankan beban keluarga.
“Diharap ia mampu menceriakan lagi sambutan Deepavali kanak-kanak berkenaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















