Pasukan keselamatan merawat beberapa PATI yang jatuh dalam laut di ke Jeti APMM Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, hari ini. - Foto ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)

JOHOR BAHRU – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) jatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki dikejar sebelum berlanggar dengan bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 di Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri dekat sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian pada pukul 3 pagi itu berlaku selepas bot dinaiki mereka awalnya dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.

Jelasnya, menerusi Op Taring Gelora itu bot ronda PPM PC 4 mengesan bot tersebut kira-kira tiga batu nautika dari daratan sebelum cuba menghampirinya untuk pemeriksaan.

“Namun, bot suspek bertindak mengelak dan enggan berhenti menyebabkan pihak pihak polis mengejarnya.

“Dalam kejadian itu, bot suspek melanggar bot ronda PPM sebelum terbalik dan menyebabkan kesemua 10 penumpang terjatuh ke dalam laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua penumpang berjaya diselamatkan pasukan rondaan sebelum dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Kupang dan kemudiannya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati semua yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan seorang etnik Rohingya berusia antara 21 hingga 48 tahun tanpa dokumen perjalanan sah.

Polis ujarnya, turut merampas sebuah bot gentian kaca dengan nilai keseluruhan RM25,500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 338 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu katanya, polis Johor komited membanteras kegiatan penyeludupan migran dan jenayah maritim.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau 07-2212999.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast