KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyindir pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu alkohol dalam satu majlis dengan menyifatkan pendekatan ‘Islam Madani’ kini seolah-olah menjadikan arak sebagai simbol diplomasi baharu negara.
Ketua Wirawati Parti Putra Malaysia, Nurhafizah Jamaludin berkata, walaupun Perdana Menteri telah memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, namun perkara itu dilihat tidak disusuli dengan tindakan tegas.
“Bagi Madani, cukup sekadar ‘amaran’, masalah dianggap selesai. Begitulah mudahnya cara Madani menyelesaikan isu, sama mudahnya seperti menurunkan harga RON95 sebanyak enam sen dan mendakwa kos sara hidup rakyat telah selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan itu memperlihatkan perubahan prinsip yang drastik sehingga kerajaan sanggup ‘membungkus dosa sebagai diplomasi Madani’.
“Kami tidak marah pelancong minum (arak). Namun, kami kagum melihat betapa pantas kerajaan menukar prinsip menjadi perhiasan di meja gala.
“Undang-undang boleh dilentur, syariat boleh tunduk, asalkan tepukan gemuruh bergema dan lensa kamera puas merakam,” ujarnya.
Nurhafizah turut mempersoalkan tindakan pemimpin Islam yang menurutnya seolah-olah tidak mempunyai rasa malu apabila berdiam diri terhadap penganjuran majlis sedemikian oleh kementerian kerajaan sendiri.
“Jika inilah wajah ‘Islam Madani’, syaitan mungkin tidak perlu lagi menggoda. Majlis rasmi kerajaan sendiri sudah membuka botol sambil melaungkan slogan Rahmah,” tambahnya.
Nurhafizah turut menyelar kenyataan seorang menteri bukan Islam yang meminta agar isu tersebut tidak diperbesarkan.
“Betul juga, kerana jika maruah bangsa pun sudah dijadikan lauk, apalah sangat seteguk wain. Yang pelik bukan kata-kata itu, tetapi sikap sesetengah pemimpin Islam yang tetap berwajah tebal tanpa rasa malu,” katanya.
Beliau turut mengkritik apa yang didakwanya sebagai ketakutan berlebihan dalam kalangan pemimpin kerajaan terhadap persepsi masyarakat antarabangsa dan kehilangan undi.
“Malaysia hari ini tidak mabuk kerana arak. Malaysia mabuk kerana ketakutan, takut dikata jumud, takut kehilangan imej dan yang paling kritikal, takut kehilangan undi,” katanya.
Nurhafizah memberi peringatan kepada kerajaan supaya tidak menunggu sehingga musibah berlaku sebelum mencari siapa yang memulakan kesilapan.
“Pesan kami hanya satu, jangan nanti apabila bala turun, barulah kita mencari siapa yang menuang wain pertama. Kerana dalam neraka, yang menuang dan yang menonton sama-sama terbakar,” katanya.
Isu majlis pelancongan itu mencetuskan kontroversi apabila beberapa video dan gambar memaparkan wain dan alkohol disajikan dalam acara yang turut dihadiri pegawai kementerian dan tetamu kehormat.
Setakat ini, tiada sebarang tindakan disiplin diumumkan ke atas pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette
















