KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan 23 delegasi Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) menulis dan menggabungkan pengalaman mereka di dalam sebuah buku, khususnya pengalaman ketika dalam tahanan rejim zionis.
Menurut Facebook Selangor Royal Office, baginda mengikuti rapat perkembangan gerakan flotila tersebut dan prihatin dengan nasib yang menimpa mereka apabila ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa semasa menuju ke Gaza.
“Meskipun, bantuan kemanusian kali ini tidak dapat disalurkan kepada rakyat Gaza, baginda berharap usaha-usaha yang dilakukan oleh GSF akan terus membuka mata dunia dan menyedarkan semua pihak mengenai penindasan dan kekejaman sebenar yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Gaza,” kata hantaran tersebut.
Tambahnya, baginda turut menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah dengan kembalinya 23 delegasi Malaysia ke tanah air dengan selamat.
Katanya, baginda amat menghargai dan kagum dengan usaha serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh 23 aktivis Malaysia yang terlibat, serta kesemua misi sukarela yang dikendalikan oleh GSF, demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas oleh rejim Zionis.
Baginda turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menguruskan pembebasan kesemua aktivis dari Malaysia dengan segera, hasil kerjasama Kerajaan Turkiye. -MalaysiaGazette
















