Gambar hiasan

KULAI – Hasrat seorang kontraktor untuk menambah pendapatan dengan bekerja sambilan tidak kesampaian apabila diperdaya scammer RM500,278.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, semuanya bermula selepas lelaki tempatan berusia 52 tahun itu berminat dengan tawaran kerja sambilan menerusi internet.

“Tawaran itu adalah dengan melakukan tugasan pekerjaan iaitu terima tempahan daripada pelanggan dalam laman web whosalecentral.bond.

“Mangsa kemudian tertarik dengan tugasan kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus untuk setiap pembelian barang dan wang keuntungan akan dimasukkan dalam akaun milik mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa kemudian membuat 22 transaksi ke dalam 16 akaun bank tempatan dari 20 Mac hingga 28 April lalu melibatkan jumlah RM500,278.

Menurut Seng Lee, mangsa kemudian membuat semakan akaun miliknya itu dan mendapati keuntungan diperoleh adalah sebanyak USD138,500.

Bagainanpun katanya, apabila lelaki tersebut cuba mengeluarkan keuntungan dalam akaun miliknya itu tidak berjaya dan didapati telah disekat.

Mangsa katanya, mengesyaki dirinya telah ditipu sebelum datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini semalam untuk membuat laporan berkenaan penipuan itu.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu tawaran kerja sambilan tidak wujud.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast