Penduduk Deir al-Balah di Palestin mendapatkan bantuan makanan diagihkan kepada mereka. Foto ihsan Mas Imran Adam

JOHOR BAHRU – Kesengsaraan hidup rakyat di Gaza, Palestin mendorong Kelab Motosikal Majestic MG Malaysia menyalurkan bantuan pek makanan panas kepada 1,000 penduduk yang terkepung di Deir al-Balah.

Setiausahanya, Mas Imran Adam berkata, bantuan itu disampaikan pada 6 Oktober lalu dengan bantuan Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) yang dipengerusikan oleh Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar.

“Pek masakan panas itu menelan kos sebanyak RM5,000 dengan dana diperoleh hasil kutipan dan sumbangan ahli kelab.

“Bantuan disalurkan baru-baru ini adalah kesinambungan usaha dan projek ketiga kelab dalam membantu saudara kita di Gaza,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, projek pertama pihaknya itu dilaksanakan pada awal tahun ini dengan menghantar tiga lori tangki air bersih ke kem pelarian sekitar Gaza diikuti inisiatif menyewa dua jentolak bagi membersihkan sisa runtuhan.

Kedua-dua projek itu jelasnya, dijalankan dengan bantuan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan inisiatif terbabaru hasil kerjasama IESCO.

Menurut beliau, usaha pihaknya tidak akan terhenti di situ kerana akan diteruskan pada masa akan datang.

Mas Imran juga berharap ada kelab motosikal lain turut sama membantu supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Gaza.

“Sedih sebenarnya bila tengok video waktu agihan tempoh hari kerana 1,000 pek makanan memang tak cukup dan lebih sebak bila ada kanak-kanak dilihat korek kerak nasi.

“Sangat kasihan tengok keadaan penduduk di sana yang sangat memerlukan jadi Insya-Allah, kita akan usaha untuk memperbanyakkan lagi program dan projek bantuan ke sana.

“Di negara ini pun banyak kelab dan persatuan motosikal dan mungkin ada antaranya nak membantu cuma tak tahu macam mana caranya. Jangan risau kerana kami sedia membantu hubungkan dengan MyCARE dan IESCO,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast