KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan (MOF) dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) bagi memberi penjelasan berhubung teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3/2025.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dua prosiding berasingan akan diadakan bagi membolehkan PAC meneliti dua isu utama yang disentuh dalam laporan berkenaan.
Ia adalah pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi serta kelemahan pelaksanaan sistem pembayaran wang jamin atau e-Jamin.
“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah akan dipanggil bagi menjelaskan teguran berhubung sistem e-Jamin, manakala Kementerian Kewangan pula akan diminta memperincikan pengurusan kenderaan di bawah syarikat konsesi kerajaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, tarikh bagi kedua-dua prosiding berkenaan akan ditentukan kemudian selepas PAC meneliti laporan penuh audit dan menyiapkan rangka siasatan.
Menurut Mas Ermieyati, LKAN Siri 3/2025 menyatakan bahawa prestasi pengurusan kenderaan kerajaan di bawah syarikat konsesi masih kurang memuaskan dengan anggaran penalti tidak dikenakan mencecah RM54.51 juta.
Laporan itu turut mendedahkan sebanyak 6,028 kenderaan dihantar lewat antara satu hingga 508 hari, melebihi tempoh penghantaran ditetapkan iaitu 60 hari bekerja daripada tarikh pesanan, tanpa sebarang tuntutan denda terhadap pihak konsesi.
“PAC mengambil maklum teguran ini dan akan meneliti mengapa tiada tindakan penalti diambil, sedangkan kelewatan penghantaran kenderaan melibatkan implikasi kewangan besar kepada kerajaan,” ujar beliau.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC setakat tahun ini telah membentangkan 14 penyata laporan audit kepada Parlimen, manakala empat lagi laporan tambahan dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Parlimen yang sedang berlangsung.
Selain itu, PAC turut merancang untuk mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Lumut, bagi meninjau kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS), susulan dua laporan PAC mengenai projek tersebut yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober dan 14 November 2023.
“Lawatan ini akan membolehkan PAC memantau perkembangan terkini projek LCS yang menjadi tumpuan awam sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















