MELAKA – Pacuan empat roda jenis Isuzu yang dikesan tular memaparkan pelekat bertulisan bahasa rasmi Israel, Hebrew yang membawa maksud “Malaysia di tangan kami” semalam, didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar yang memberitahu semakan dibuat selepas polis menerima laporan penularan klip video berdurasi 14 saat tersebut, di Balai Polis Merlimau jam 3.32 petang semalam.
Menurutnya, laporan dibuat pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka dan hasil siasatan mendapati, pelekat pada pacuan empat roda jenis Isuzu seperti dimuat naik di media sosial Threads itu adalah pelekat bertulisan Hebrew (bahasa Ibrani).

“Siasatan awal mendapati tulisan tersebut membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita/ Malaysia di tangan kami’,” dan kenderaan didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
“Susulan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.


“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
“Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
“Polis Melaka menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video tersebut dan siasatan akan dijalankan secara telus bagi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terjamin,” tegas beliau.
Petang semalam, Pegawai Khas Agama Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis menggesa tindakan segera diambil terhadap pemandu kenderaan terbabit kerana tidak sensitif terhadap sentimen umat Islam di negara ini.
Tindakan itu juga jelasnya boleh menimbulkan kegusaran awam di saat masyarakat yang begitu marah menyaksikan kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan tular video sebuah pikap didakwa berlaku di Melaka yang memaparkan pelekat warna biru bertulisan putih yang merupakan warna bendera Israel. – MalaysiaGazette
















