Skrin yang memaparkan perkembangan terkini kapal flotilla yang disertai 9 delegasi Malaysia telah dipintas oleh tentera Israel ketika dalam misi Freedom Flotilla x Thousand Madleens To Gaza, di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Seri Kembangan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OKTOBER 2025

SERI KEMBANGAN – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) tidak menyangka misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang disertai 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia dipintas lebih awal daripada yang dijangkakan.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha berkata, pihaknya telah terputus hubungan dengan delegasi misi kemanusiaan FFC x TMTG pada jam 10.03 pagi sebelum sembilan kapal dipintas tentera zionis Israel sekitar 10.50 pagi.

Berikutan itu, sembilan rakyat Malaysia disahkan ditahan oleh tentera Israel.

Dr Kamal Nasharuddin Mustapha

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas Kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Sukarelawan negara yang berada atas Kapal Conscience ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali yang juga ketua misi; Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Menurutnya, pencerobohan yang dilakukan oleh tentera rejim zionis ini dalam lingkungan lebih kurang 120 batu nautika.

“Kapal pertama Sun Bird di bawah Thousand Madleen to Gaza (TMTG) telah ditangkap dalam lingkungan titik 120 batu nautika diikuti lapan buah kapal yang lain termasuk Conscience manakala kapal terakhir yang dipintas ialah UMM Saad.

“Kita tidak jangka (pintasan) seawal ini. Sebab sebelum ini, pintasan-pintasan semua dalam lingkungan 100 batu nautika. Hari ini dalam anggaran 120 batu nautika, jadi jauh lagi daripada kawasan yang selalu dipintas. Jadi kami semua agak terkejut,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar menerangkan mengenai perkembangan terkini kapal flotilla yang disertai 9 delegasi Malaysia telah dipintas oleh tentera Israel ketika dalam misi Freedom Flotilla x Thousand Madleens To Gaza, di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Seri Kembangan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OKTOBER 2025

Kamal Nasaruddin berkata, MyCare mengecam sekeras-kerasnya perbuatan provokasitf dan melanggar undang-undang antarabangsa itu oleh tentera Israel.

Tegasnya, perbuatan merampas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan termasuk bantuan perubatan ini adalah satu perbuatan tidak berasas dan mencabuli hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan sejagat.

Katanya, perkembangan muktahir itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wisma Putra dan keluarga sukarelawan.

“…yang penting adalah perkembangan semasa kepada keluarga. Saya percaya PM kan bantu supaya delegasi rakyat akan pulang ke tanah air nanti,” tambah.

Dr Kamal Nasharuddin Mustapha bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini kapal flotilla yang disertai 9 delegasi Malaysia telah dipintas oleh tentera Israel ketika dalam misi Freedom Flotilla x Thousand Madleens To Gaza, di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Seri Kembangan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OKTOBER 2025

Kamal Nasaruddin menambah, pihaknya dimaklumkan dron dikesan terlebih dahulu berhampiran kapal-kapal misi sebelum didekati oleh tentera zionis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua peserta misi kemanusiaan terbabit dijangka tiba di Pelabuhan Ashdod dalam tempoh 24 jam.

“Selama mungkin 24 jam atau lebih 15 jam mereka mungkin sampai ke Pelabuhan daripada jarak pintasan. Sehingga itu besar kemungkinan kita tidak dpt berhubung dengan siapa-siapa.

“Esok pagi waktu sana mungkin mereka akan sampai di pelabuhan. Di sana peguam akan menunggu mereka,” tambahnya.

Mereka yang ditahan ini menyertai gelombang ketiga flotilla kemanusiaan berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala Kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast