Ternakan udang umpan turut diusahakan dalam Projek Pembangunan Polikultur Akuaponik Marin untuk Penjanaan Pendapatan Tambahan di Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus membuktikan komitmennya sebagai universiti untuk masyarakat apabila melancarkan Projek Pembangunan Polikultur Akuaponik Marin untuk Penjanaan Pendapatan Tambahan, khusus bagi memperkasa komuniti orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan di Terengganu.

Majlis pelancaran dan bengkel pemindahan ilmu bagi projek ini berlangsung di Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Cawangan Terengganu di Teluk Ketapang, Seberang Takir.

Projek ini diketuai oleh Ts. Dr. Wan Adibah Wan Mahari dari Institut Akuakultur Tropika & Perikanan (AKUATROP), UMT, dengan penyertaan seramai 30 ahli SBM yang terdiri daripada pelbagai kategori penglihatan.

Projek ini merupakan sebahagian daripada Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam Komuniti@UniMADANI, dengan peruntukan RM100,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Ia dilaksanakan melalui kerjasama erat antara UMT, SBM Terengganu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan SS Energy Aquaculture selaku rakan strategik industri.

Profesor Dr. Muhammad Ikhwanuddin bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) menegaskan projek ini menggambarkan pendekatan inklusif universiti dalam memperkasa komuniti setempat melalui ilmu dan inovasi, sejajar dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan pembangunan insan dan masyarakat.

“UMT percaya bahawa penyelidikan tidak seharusnya kekal di menara gading. Ia mesti diterjemahkan menjadi manfaat sebenar kepada masyarakat, terutamanya komuniti yang memerlukan seperti OKU penglihatan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan projek ini menunjukkan penyelidikan AKUATROP bukan sekadar bersifat akademik, tetapi mampu diadaptasi kepada komuniti melalui konsep pemindahan ilmu yang memberi impak sosial secara langsung.

Projek ini memperkenalkan sistem akuaponik marin berasaskan polikultur, iaitu gabungan penternakan udang dengan penanaman rumpai laut Latok (Caulerpa lentillifera) dalam satu sistem ekologi tertutup yang saling bergantung. Ia merupakan teknologi lestari yang menggunakan air secara kitar semula tanpa pencemaran.

Sebelum ini, komuniti SBM Terengganu mengusahakan sistem akuaponik air tawar. Namun, dengan bimbingan UMT, mereka kini beralih kepada sistem marin bagi meningkatkan kepelbagaian hasil serta nilai ekonomi.

Menurut Dr. Wan Adibah, sistem baharu ini membolehkan dua hasil utama dijana serentak iaitu udang sebagai produk umpan hidup dan rumpai laut sebagai makanan eksotik bernilai tinggi.

“Konsep polikultur ini membolehkan air dikitar semula secara semula jadi. Udang dan rumpai laut hidup dalam sistem yang saling menyokong, menjadikannya lebih lestari dan mesra alam,” jelas beliau.

Lokasi Teluk Ketapang dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan kampus UMT, berhampiran laut, serta mudah dipantau oleh penyelidik dan peserta.

Kawasan ini juga menjadi tumpuan kaki pancing yang mencari umpan udang hidup, sekali gus membuka pasaran segera kepada peserta projek.

Peserta menjalani latihan teori dan praktikal secara berperingkat menggunakan modul mesra deria sentuhan dan pendengaran. UMT turut merancang untuk menerbitkan manual operasi dalam tulisan Braille agar projek ini boleh dijadikan panduan nasional bagi komuniti OKU lain di seluruh negara.

Kerjasama antara DOF dan SS Energy Aquaculture pula memberi nilai tambah kepada projek ini. DOF membantu dalam pembangunan produk hiliran berasaskan rumpai laut, manakala SS Energy berperanan sebagai penasihat industri dalam reka bentuk sistem serta pengurusan operasi.

Dua hasil utama daripada projek ini iaitu udang umpan dan rumpai laut mempunyai potensi pasaran yang tinggi. Udang hidup dijual antara RM0.70 hingga RM1.00 seekor, manakala rumpai laut Latok boleh mencecah RM50 sekilogram, bergantung kepada kualiti dan musim. Hasil awal menunjukkan setiap kumpulan peserta mampu memperoleh pendapatan tambahan antara RM920 hingga RM1,100 bagi satu kitaran, bersamaan purata RM270 sebulan bagi setiap peserta.

Secara keseluruhan, projek ini dijangka menjana pendapatan sekitar RM7,000 hingga RM8,000 bagi satu kitaran penuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast