DI sebalik perkongsian pengalaman, ucapan ringkas dan sokongan padu di Axiata Arena dan sambutan hangat di lapangan terbang, tersirat satu dimensi yang lebih mendalam iaitu sebuah perjalanan rohani yang menuntut kesabaran, keikhlasan dan cinta terhadap keadilan.
Saya ingin memandang misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) dalam kerangka sufisme, perspektif yang jarang sekali disentuh. Dalam hubungan ini GSF boleh ditafsir sebagai suluk kolektif, satu pengembaraan batin menuju makna keadilan dan kasih sayang Tuhan.
Perkataan “sumud” berasal daripada bahasa Arab (صمود), yang membawa maksud keteguhan, ketabahan dan kesabaran yang tidak goyah. Dalam tradisi tasawuf, konsep ini selari dengan ṣabr iaitu kesabaran rohani yang lahir daripada cinta kepada Tuhan dan keyakinan bahawa setiap ujian adalah jalan menuju makrifat.
Maka GSF bukan hanya pelayaran fizikal ke Gaza lebih mendalam lagi juga simbol hijrah rohani melawan kezaliman, bahtera kasih yang membawa harapan dan rahmat serta penolakan terhadap duniawi kekejaman dan kebinasaan demi menyampaikan cinta Ilahi kepada mereka yang tertindas.
Simbolisme spiritual dalam GSF sangat kuat. Kapal yang digunakan melambangkan bahtera Nabi Nuh, menyelamatkan jiwa daripada tenggelam dalam kezaliman dunia. Sekatan Israel pula menjadi simbol hijab iaitu tirai kezaliman duniawi yang
menghalang cahaya Tuhan daripada menyinari hati manusia.
Para aktivis yang menyertai misi ini boleh dilihat sebagai para salik, pengembara rohani yang menempuh jalan penuh cabaran demi menyampaikan rahmat. Ancaman dan risiko yang mereka hadapi adalah manifestasi fana, penghapusan ego demi tujuan yang lebih tinggi.
Imam al-Ghazali dalam karya agungnya Ihya’ Ulum al-Din menekankan perjuangan sebenar bermula dari dalam jiwa. Beliau membahagikan ilmu kepada dua kategori: fardu ‘ain, iaitu ilmu yang wajib untuk penyucian jiwa dan ibadah dan fardu kifayah, iaitu ilmu yang menyokong kehidupan sosial dan material.
Menurut beliau, ilmu yang tidak membawa kepada taqarrub ilallah — mendekatkan diri kepada Tuhan adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Maka, perjuangan seperti GSF mesti disertai dengan niat yang ikhlas, ilmu yang benar dan kesedaran bahawa setiap tindakan adalah ibadah.
Tanpa penyucian hati, perjuangan mudah terpesong oleh ego, pujian dan populariti. Jalaluddin Rumi, penyair sufi agung melihat perjuangan sebagai ekspresi cinta Ilahi.
Dalam Mathnawi, beliau menulis: “Apa pun yang kamu lakukan, lakukanlah dengan cinta. Ini kerana cinta adalah cahaya yang menembusi kegelapan”. Pandangan Rumi mengajar kita bahawa perjuangan bukan tentang membenci musuh tetapi tentang mencintai kebenaran.
Cinta adalah tenaga rohani yang menggerakkan manusia untuk menolong sesama. Bahtera GSF adalah lambang cinta kolektif, yang melampaui sempadan bangsa dan agama. Maka aktivis yang benar-benar sumud ialah mereka yang tidak terpesona
dengan pujian, tidak gentar dengan celaan dan terus berjuang dalam diam kerana Tuhan Maha Melihat.
Dalam penggunaan Fiqh al-Mizan dalam amat berkaitan. Ia ialah pendekatan fiqh yang menekankan keseimbangan antara zahir dan batin, antara hukum dan hikmah. Ia diperkenalkan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dan dikembangkan oleh pemikir kontemporari seperti Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan. Dalam konteks GSF, fiqh al-Mizan menuntut agar perjuangan tidak ekstrem tetapi seimbang antara emosi dan rasional.
Ia menekankan maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, akal, agama, harta dan keturunan. Oleh itu GSF mesti dilaksanakan dengan strategi yang bijak, bukan sekadar semangat. Populariti bukanlah matlamat tetapi alat untuk menyampaikan
mesej.
Majlis besar seperti di Axiata Arena boleh menjadi wasilah dakwah, jika diiringi dengan ilmu dan adab. Pandangan Bediuzzaman Said Nursi, seorang ulama dan pemikir Islam dari Turkiye yang terkenal dengan karya tafsirnya, Risalah al-Nur, menambah dimensi penting dalam memahami perjuangan seperti GSF. Dalam Risalah al- Nur, Nursi menekankan bahawa jihad yang paling agung ialah jihad melawan kejahilan, kemiskinan dan perpecahan.
Beliau menolak kekerasan sebagai jalan utama, dan sebaliknya menyeru kepada jihad maknawi — perjuangan ilmu, akhlak dan kesabaran. Bagi Nursi, penindasan bukan hanya fizikal, tetapi juga spiritual.
Maka aktivisme kemanusiaan mesti berakar pada cahaya ilmu dan keikhlasan hati. Beliau menulis bahawa “iman adalah cahaya yang tidak boleh dipadamkan oleh kegelapan dunia”. Dalam konteks GSF, ini bermakna setiap aktivis membawa obor iman yang
menerangi jalan keadilan, bukan dengan kebencian, tetapi dengan kasih dan hikmah.
Majlis seperti di Axiata Arena bukan sekadar acara populis. Dalam kerangka sufisme, ia menjadi medan zikir kolektif, di mana ribuan jiwa bersatu dalam niat yang sama. Ceramah susulan berfungsi sebagai tazkiyah al-nafs iaitu penyucian jiwa melalui ilmu dan kesedaran. Momentum sokongan awam adalah gelombang rohani yang menggerakkan hati untuk bertindak.
GSF adalah contoh bagaimana aktivisme boleh menjadi ibadah, jika disertai dengan niat yang ikhlas, ilmu yang benar dan kesedaran rohani. Dalam semangat Imam al-Ghazali, Rumi dan fiqh al-Mizan, perjuangan bukan sekadar tindakan fizikal tetapi pengembaraan jiwa menuju Tuhan. Semoga setiap langkah mereka diberkati dan setiap jiwa yang menyokongnya
mendapat cahaya daripada Tuhan yang maha adil.

Ismail Hashim Yahaya
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa
















