KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mempertimbangkan permintaan Sumud Nusantara untuk melaksanakan gelombang kedua misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengusahakan rundingan secara diplomatik dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi supaya bantuan dapat disalurkan ke Gaza melalui jalan darat menerusi sempadan negara berkenaan.
“Sekarang ini kita sudah cuba (memecah kepungan Israel di Gaza) melalui lautan, dan sekarang ada cadangan (melalui sempadan Rafah) yang wajar diberi pertimbangan.
“Minggu ini, selesai (pembentangan) Belanjawan 2026, jadi Isnin dan Selasa depan kita panggil Sany (Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim Araby) dan Nuri (Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman) bersama-sama rakan lain untuk kita bincang strategi ke Mesir dan misi pecah tembok Rafah,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Terdahulu, Sany Araby yang merupakan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), memohon keizinan Perdana untuk menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza melalui jalan darat di Mesir.
“Saya tahu Datuk Seri ada hubungan baik dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan boleh memainkan peranan luar biasa yang tidak terjangkau oleh (pemikiran) kita.
“Kita tidak ada pilihan. Kami (Sumud Nusantara Malaysia) minta diberikan laluan dan bersedia untuk menggerakkan gelombang kedua, Insya-ALLAH,” katanya di majlis yang sama.
Beliau turut meminta Anwar untuk menjadi tonggak utama dalam memainkan peranan memperjuangkan Palestin.
“Kami juga meminta Perdana Menteri untuk menyarung jaket sebagai ‘chief de mission’ bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel serta membina semula Gaza,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
















