Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Had umur belia ditetapkan kepada 15 hingga 30 tahun bermula tahun depan bagi memastikan penyertaan dan sumbangan golongan muda terhadap pembangunan negara lebih terarah serta berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM250 juta diperuntuk bagi melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara rintis di peringkat institusi pengajian tinggi sebelum pelaksanaan penuhnya pada tahun 2027.

Tambah beliau, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, Khazanah Nasional Berhad memperuntuk RM200 juta bagi Program K-Youth yang memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, penyelenggaraan, digital dan teknologi.

“Selain itu, Program Industrial Boot Camp (IBC) MARA diteruskan dengan peruntukan hampir RM30 juta, selepas berjaya melatih hampir 5,000 peserta dengan jaminan pekerjaan.

“Inisiatif Rakan Muda turut diberi nafas baharu dengan peruntukan RM40 juta, antaranya bagi program mendekati belia luar bandar yang tercicir daripada pendidikan dan peluang pekerjaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menggalakkan anak muda menceburi bidang keusahawanan dengan pelbagai sokongan pembiayaan.

Bank Simpanan Nasional (BSN) memperuntuk RM150 juta bagi membantu usahawan muda berumur 30 tahun ke bawah, manakala Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp menyediakan RM12 juta bagi latihan serta bantuan perniagaan.

Selain itu, kerajaan akan terus menanggung bayaran lesen motosikal kelas B2 bagi menyokong belia kurang mampu yang terlibat dalam sektor perkhidmatan penghantaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast